Pada Isnin hingga Khamis minggu sebelumnya aliran keluar dana asing mencatatkan nilai RM145.7 juta.
Ketua pakar ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), yang menjadi penanda aras pasaran, didagangkan kebanyakannya rendah pada minggu baru berakhir, seiring dengan prestasi bursa serantau.
“Isu berkaitan kemelut perdagangan AS-China kekal menjadi tumpuan pelabur. Tindakan presiden AS menandatangani Rang Undang-Undang Hong Kong menunjukkan prospek penyelesaian perdagangan yang cepat (antara AS dan China) boleh menghadapi halangan yang akan melambatkannya.
“Pertumbuhan global akan terjejas sekiranya rundingan perdagangan tidak mencatatkan sebarang perkembangan. Oleh itu, pelabur akan memantau rapat sama ada AS akan terus memberi tekanan dengan kenaikan tarif pada 15 Dis, 2019,” katanya.
Presiden AS Donald Trump menandatangani Akta Hak Asasi Manusia dan Demokrasi Hong Kong menjadi satu undang-undang Rabu lepas bertujuan menyokong pergerakan prodemokrasi dengan Beijing mengancam “tindakan keras” ke atas langkah Washington tersebut.
Bagi minggu yang baru berakhir, Bursa Malaysia ditutup rendah secara keseluruhannya pada Isnin dan Selasa berikutan kekurangan pemangkin, namun ditutup tinggi pada Rabu setelah didorong momentum belian saham berwajaran tinggi terpilih susulan laporan rundingan untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan antara AS dan China kekal berada di landasan.
Bagaimanapun bursa tempatan susut semula pada Khamis dan Jumaat.
Sementara itu, ketua penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd Pong Teng Siew berkata, pelabur asing pada umumnya berada dalam mod belian bagi tempoh cukup lama, iaitu dari Januari 2017 sehingga Mei 2018, tetapi mula menjual ekuiti tempatan secara konsisten sejak pilihan raya umum ke-14.
“Saya merumuskan dari tempoh itu bahawa isu politik tempatan juga boleh menjejaskan sentimen tempatan,” katanya.
Menurut Pong, bursa tempatan juga menyaksikan jualan ketara pada Jumaat, dengan FBM KLCI merosot 22.03 mata atau 1.40% untuk ditutup pada 1,561.74, disebabkan terutamanya pengimbangan semula portfolio akhir bulan oleh dana asing yang akan mendorong aktiviti jualan besar-besar dalam pasaran.
Beliau berkata, pengimbangan semula itu dibuat secara bermusim oleh dana asing pada akhir bulan, iaitu sama ada mereka menjual atau membeli dalam jumlah yang besar.
Bagaimanapun langkah itu diharapkan tidak berterusan sehingga minggu depan, katanya.
Antara perkembangan bagi minggu yang baru berakhir, Pong menyoroti pengecualian Pentamaster Corp Bhd, antara saham teknologi terbesar di Bursa Malaysia, daripada senarai pematuhan syariah Suruhanjaya Sekuriti yang menjejaskan sentimen sektor tersebut.
Satu lagi syarikat bermodal besar, firma utiliti utama Tenaga Nasional Bhd, dikenakan cukai tambahan RM3.98 bilion oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi tahun taksiran mulai 2015 hingga 2017 turut menyumbang kepada penurunan indeks barometer pasaran, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.