Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
Tidak mustahil demokrasi negara menuju ke jalan mati: Amir Isma
BANGI
– Amir gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Abdullah
Zaik Abd Rahman mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta
Kabinet mengeluarkan pendirian rasmi terhadap fahaman komunisme di
negara ini.
Perkara itu dibangkitkan susulan laporan
perjumpaan serta perhimpunan dipercayai membabitkan bekas ahli Parti
Komunis Malaya (PKM) yang diadakan di Kajang, pagi semalam.
Terdahulu, sebuah portal berita
melaporkan, kira-kira 300 orang telah menghadiri perjumpaan dan
perhimpunan difahamkan sebagai memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian
Damai Hatyai yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan PKM pada 2
Disember 1989.
Antara yang turut hadir adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu dan veteran PKR, Syed Hussin Syed Ali.
Difahamkan, perjumpaan itu bukan sahaja
untuk mengingati sejarah komunis tetapi juga untuk membetulkan salah
faham terhadap perjuangan mereka.
Mengulas perkara itu, Ustaz Abdullah
berkata, Kerajaan Pusat dilihat telah membiarkan negara ini menjadi
tempat yang subur untuk kegiatan prokeganasan dan bercanggah dengan
Perlembagaan.
“Kita ingin tahu adakah kerajaan hari ini
secara langsung atau tidak langsung akan menukar ‘kiblat’ kepada blok
komunis? Jika kerajaan berhaluan kiri ini terus berdiam diri terhadap
kegiatan puak-puak prokomunis tidak mustahil demokrasi di negara ini
akan menuju jalan mati,” katanya kepada Ismaweb, hari ini.
Pada masa sama, Ustaz Abdullah yakin,
akan berlaku banyak lagi kegiatan yang menyalahi undang-undang dan
Perlembagaan seperti ektremis Zionis; kristian; syiah dan lesbian, gay,
biseksual dan transgender (LGBT) sekiranya tiada pendirian tegas dari
pihak berkuasa.
“(Kerajaan) Pusat perlu faham bahawa
rakyat sudah cukup tertekan bukan sahaja kerana kos sara hidup tetapi
bimbang dengan terdedahnya pelbagai aktiviti-aktiviti yang menyalahi
undang-undang secara tidak langsung ada kaitan dengan individu dalam
kerajaan sendiri,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.