PKR tidak boleh mengamalkan sikap pilih kasih dalam mengambil tindakan terhadap ahli yang melanggar undang-undang, kata naib presidennya Zuraida Kamaruddin.
Ia susulan pemecatan dua anggotanya iaitu bekas setiausaha politik Menteri Kerja Raya Baru Bian, Zakaria Abd Hamid dan Ismail Dulhadi, yang diumumkan pengerusi lembaga disiplin parti Ahmad Kassim.
Menyifatkan tindakan itu sebagai "reformasi membawa rebah", Zuraida mempersoalkan anggota lain yang turut didakwa melanggar undang-undang seperti kes pergaduhan dan rasuah ketika pemilihan.
"Jika benar ada saranan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk parti politik mengambil tindakan terhadap anggota yang masih tak dibuktikan bersalah di mahkamah, maka parti wajib juga mengambil tindakan terhadap anggota yang jelas melanggar undang-undang negara.
Pada 10 September lalu, pengerusi PKR Perak dan juga setiausaha politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak ditahan polis untuk membantu siasatan kes serangan di Ampang.
"Lembaga disiplin mencadangkan keanggotaan kedua-dua anggota ini dikenakan tindakan pemecatan serta-merta, dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) setuju dengan cadangan dari lembaga disiplin tersebut," katanya.
Zuraida dalam kenyataannya turut mengecam tindakan itu dan menggesa reformasi kepimpinan dilakukan segera terhadap parti itu.
"Pemecatan itu hanya mendatangkan tanda tanya apakah ia dilakukan dengan memilih bulu? Memandangkan hanya individu tertentu yang dilihat berpihak kepada pimpinan tertentu saja diambil tindakan.
"Saya mengecam tindakan pilih bulu yang dilakukan parti dan menggesa reformasi kepimpinan dilakukan segera, jika parti ini ingin diselamatkan," katanya yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan.
Siasatan SPRM terhadap Zakaria dibuat susulan laporan yang difailkan oleh penyelaras Pemuda PKR (AMK), Ahmad Syukri Che Ab Razak pada September tahun lepas.
Beliau yang juga ketua PKR cabang Bera, dikatakan telah menawarkan kontrak bernilai RM20,000 dan peruntukan berjumlah sekurang-kurangnya RM300,000 dalam satu pertemuan dengan pemimpin tempatan pada 1 Sept, ketika beliau bertanding kerusi majlis kepimpinan pusat PKR.
Dalam responsnya semalam, Zakaria mendakwa beliau tidak pernah dipanggil untuk membela diri berhubung pertuduhan rasuah terhadapnya dan akan menunggu penjelasan rasmi berkenaan perkara itu.
Sementara itu, Naib Ketua Pemuda PKR Nazree Yunus turut mengecam pemecatan itu dan berkata ia telah mengabaikan prinsip dan idealisme parti.
"Tambah sedih lagi, keputusan itu di ambil pada hari yang sama presiden PKR (Anwar Ibrahim) mempertegas kembali idealisme dan slogan ‘reformasi’ di Konvensyen Reformis," katanya dalam kenyataan.
Katanya, tindakan memecat Zakaria dan Ismail tanpa memanggil mereka untuk membela diri menunjukkan prinsip "yang sarat dalam pengertian reformasi telah dibakulsampahkan," katanya yang turut membangkitkan beberapa anggota lain yang berdepan isu undang-undang tetapi tidak dikenakan sebarang tindakan.
"Saya mengecam keras keputusan parti dan mendesak parti segera bermuhasabah untuk mengembalikan PKR kepada asas perjuangannya," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.