Calon, parti diingatkan tidak salah guna aset kerajaan untuk raih undi
BANGI
– Sebarang aktiviti kempen seperti jamuan makanan dan minuman serta
pemberian hadiah dalam bentuk barangan atau wang secara rasuah yang
boleh mempengaruhi pengundi, melanggar peruntukan di bawah Akta
Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Sehubungan
itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan pihak terbabit
berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai supaya
sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen sehingga 15
November ini.
Pengerusi
SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, calon dan pihak yang terbabit
juga hendaklah berkempen secara berhemah dan mengikut etika kempen yang
menjamin keharmonian masyarakat.
“SPR juga
ingin memperingatkan calon ataupun parti yang diwakili calon supaya
tidak menyalahgunakan aset kerajaan ataupun menyalahgunakan kuasa
kerajaan untuk meraih undi.
“Perlu
juga diingatkan bahawa apa-apa tindakan ataupun pernyataan yang
menganggu mana-mana pengundi daripada menjalankan hak pemilihannya
secara bebas juga merupakan satu kesalahan di bawah Akta yang sama,”
katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau
berkata, ia termasuklah tindakan atau pernyataan yang cenderung untuk
mengembangkan perasaan jahat, permusuhan kaum atau ancaman menggunakan
kekerasan atau halangan ke atas pengundi.
“Semua
pihak juga diingatkan sebarang bentuk kempen atau aktiviti merayu undi
adalah dilarang pada hari mengundi. Ini termasuklah melalui saluran
media sosial.
“Kesemua parti adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggarakan pejabat atau barung ketika hari mengundi,” katanya.
Justeru,
mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau keterangan mengenai
sebarang pelanggaran undang-undang oleh pihak yang terbabit dalam
aktiviti berkempen, supaya melaporkan perkara berkenaan kepada pihak
berkuasa, katanya.
“Apa-apa
perbuatan membabitkan amalan rasuah haruslah dilaporkan kepada SPRM.
Manakala, bagi kesalahan-kesalahan lain di bawah Akta Kesalahan Pilihan
Raya atau Kanun Keseksaan hendaklah dilaporkan kepada PDRM.
“SPR
berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen
pilihan raya di PRK tersebut bagi memastikan kelancaran proses pilihan
raya dan tidak menggugat ketenteraman dan keselamatan awam,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.