Prof Datuk Dr Ramlah Adam
Ingat! Komunis dakyah pemikiran secara 'halus', pecah belah perpaduan
PADA
12 Julai 1973 kira-kira jam 9 malam, enam pengganas komunis telah
merempuh masuk ke dalam rumah seorang pegawai polis bernama ASP Chin
Chin Kooi di Serdang, Kedah.
Kesemua
mereka melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah Chin Kooi hingga
menyebabkan beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir – di depan
keluarganya sendiri!
Dosa Chin
Kooi di mata komunis adalah kerana pegawai polis itu amat aktif
menyiasat dan membongkar kegiatan Parti Komunis Malaya (PKM) khususnya
dalam ‘Gerakan Sedar’ di negeri itu.
Kegigihan
dan kesungguhan Chin Kooi yang berjaya memusnahkan beberapa tempat
persembunyian anggota PKM di kawasan Serdang dan Hutan Relau telah
menyebabkan kumpulan itu nekad untuk mengakhiri riwayatnya.
Tiga bulan
selepas itu, Detektif Sarjan Chong Kek Oh pula ditembak oleh
anggota-anggota PKM di Sungai, Siput, Perak. Tahun yang sama juga
menyaksikan mereka menembak mati Timbalan Penguasa Polis, Wong Lin Hoon
di Kuala Lumpur.
Pada 3
Januari 1974, PKM bertindak membunuh Detektif Konstabel Lee See Kaw di
Malim Nawar, Perak diikuti pembunuhan terhadap Detektif Sarjan Lee Yoon
Chin pada 20 April 1974 di Melaka.
Empat hari kemudian, Detektif
Konstabel Ong Soon Chua mati ditembak di Chemor, Perak.
Pada 13
November 1975, Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong pula telah
dibunuh di Ipoh semasa berada di dalam kereta. Kejadian tersebut turut
meragut nyawa pemandunya Sarjan Yeung Peng Cheong.
Ini
hanyalah secebis kisah bagaimana pegawai dan anggota polis berketurunan
Cina yang mati dibunuh oleh PKM, itu belum dicampur daripada pasukan
tentera.
Namun,
kita semalam dikejutkan dengan berita di mana lebih 150 orang yang
hampir kesemuanya berketurunan Tionghua, dengan bangganya telah membawa
balik abu mayat bekas setiausaha agung PKM, Chin Peng dari Thailand
sebelum menaburnya ke laut dan gunung di tanah kelahirannya.
Penyelaras
kumpulan berkenaan, Chan Kan Fook berkata, separuh daripada abu Chin
Peng ditaburkan di laut berhampiran Lumut, Perak dan sebahagian lagi di
kawasan hutan banjaran Titiwangsa.
Bagi
memenuhi hasrat terakhir Chin Peng, kumpulan itu membawa abu mayatnya
melalui tempat asalnya di Sitiawan dan kubur ibu bapanya di Lumut
sebelum menabur abu tersebut di laut dan hutan.
“Biarlah
dia kembali ke laut dan gunung di tanah airnya, biarlah dia selamanya
dengan kawan-kawannya yang berkorban untuk negara ini,” kata Kan Fook.
Begitu bangga nampaknya Kan Fook bercerita tentang kejayaan ‘mengembalikan’ abu mayat Chin Peng ini.
Namun
sedar tak Kan Fook dan rakan-rakannya itu, bangsa merekalah antara yang
paling ramai dibunuh oleh PKM waktu pengganas-pengganas itu
bermaharajalela!
Kalau
dilihat pada sejarah ketika era Perang Dunia Kedua, kebanyakan kaum Cina
di Tanah Melayu mendiami pinggir hutan bagi melarikan diri daripada
pemerintahan Jepun yang kejam terhadap mereka.
PKM yang
banyak bergerak di kawasan hutan tidak teragak-agak menyeksa dan
membunuh kaum ini yang enggan membantu atau membekalkan maklumat serta
makanan pada mereka.
Justeru,
tidak hairanlah keganasan komunis pada darurat pertama (1948-1960)
banyak direkodkan di negeri yang mempunyai populasi Cina teramai seperti
Perak, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan berbanding di negeri
majoriti Melayu seperti Kedah, Melaka, Kelantan dan Terengganu.
Kekejaman
tidak berperikemanusiaan PKM terhadap kaum Cina ini direkodkan pasukan
keselamatan dan disaksikan pekerja estet. Kaum Cina diseksa akibat
enggan bekerjasama malah penyeksaan lebih teruk dibuat kepada mereka
yang secara terang-terangan menentang perjuangan PKM seperti guru,
profesional dan ahli perniagaan.
Untuk
rekod, sepanjang zaman darurat dari 16 Jun 1948 hingga 31 Julai 1960,
sejumlah 2,473 orang awam dibunuh oleh komunis dan 1,385 orang
dicederakan.
Di pihak
pasukan keselamatan pula, sejumlah 1,865 nyawa terkorban dan 2,560 orang
dicederakan. Justeru, kita hairan bagaimana ada orang Cina seperti Kan
Fook dan rakan-rakannya boleh bertindak sebegitu ‘mulia’ untuk membawa
balik abu lelaki yang pernah mengotorkan tangannya dengan darah
orang-orang bangsanya sendiri.
Apapun
kita jangan terperangkap dengan permainan sebegini. Jangan hanya kerana
kebiadapan Kan Fook dan rakan-rakannya telah menyebabkan kita
sewenang-wenangnya menuduh orang-orang Cina lain juga bersekongkol
dengan mereka.
Ini kerana majoriti orang Cina masih menolak fahaman komunis dan kita percaya sentimen itu akan kekal sampai bila-bila.
Cuma kita
jangan sama sekali terleka kerana senjata utama komunis ketika ini bukan
terletak pada senjata, tetapi pada pemikiran dan dakyah-dakyah yang
disampaikan secara ‘halus’ apatah lagi dalam era segalanya di hujung
jari ini.
Ingat,
dalam usaha untuk mengembangkan pengaruh komunis, memecahbelahkan
perpaduan yang kita ada juga merupakan ramuan dan resipi mereka.
Tiada yang lebih menggembirakan PKM selain melihat kita sesama kaum mencurigai antara satu sama lain.
Bagi
mereka, matlamat akan menghalalkan segala cara. Di akhirnya, PKM hanya
letak senjata – tetapi tidak pada cita-cita! Maaf hanya untuk renungan
kita rakyat Malaysia yang bersatu daripada pelbagai kaum dan budaya.
*Prof Datuk Dr Ramlah Adam-Pakar sejarah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.