Isnin, 4 November 2019

Mat Sabu yakin TRW mampu bangkit semula


Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Mohamad Sabu menyatakan harapannya untuk melihat skuad The Red Warriors (TRW) kembali bangkit menjadi pasukan yang disegani di negara ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata memang menjadi lumrah dalam sukan itu, sesebuah pasukan akan mengalami turun naik dan cabaran tersendiri.

Mengakui bola sepak adalah bidang baru baginya, Mohamad berharap beliau mampu membantu dengan sepenuhnya TRW dan kebangkitan semula skuad berkenaan bukanlah mustahil.

"Saya tidak tahu boleh menjadi penasihat atau tidak.

"Memanglah setiap individu minat kepada sukan terutamanya bola sepak yang melibatkan rakyat di seluruh dunia.

"Apabila berada di kedudukan bawah pasukan Kelantan ini, nak naikkan semula bukan senang. Tetapi ia bukan sesuatu yang mustahil," katanya ketika berucap di majlis makan malam Kafa bersama penasihat mereka di Kota Bharu, malam tadi.

Hadir sama Presiden Kafa, Wan Abd Rahim Wan Abdullah.

Akan tetap beraksi

Mohamad berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini skuad JDT menjadi pasukan yang hebat dan selalu berada di kedudukan atas.

Sebelum itu, katanya, pasukan seperti Selangor dan Pahang berjaya menjadi skuad yang disegani, sama seperti Kelantan yang pernah mencatat kejayaan merangkul tiga kejuaraan serentak.

"Dengan sokongan dan sumbangan (pelbagai pihak), saya harap pasukan Kelantan akan kembali ke mercu kejayaan pada masa akan datang," katanya.

Untuk rekod, pasukan Kelantan yang kini dikendalikan oleh Che Yusri Che Lah bakal beraksi dalam saingan Liga Perdana sekali lagi pada musim depan.
Wan Abdul Rahim
Pada masa sama Kafa berdepan dengan beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan bagi mendapatkan kelulusan lesan kelab. Antaranya pembayaran tunggakan cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan bayaran kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Wan Abd Rahim berkata, Kafa sedang menguruskan perkara itu dan memberi jaminan skuad TRW terus beraksi pada musim depan.

Pada 17 Oktober lalu, Kafa mengumumkan pelantika Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu sebagai penasihat badan induk bola sepak Kelantan itu.

Sementara itu, Mohamad turut mengakui bahawa Kafa kini memerlukan dana yang mencukupi untuk meningkatkan kemampuan pasukan ke tahap lebih baik.

Justeru, katanya, semua pihak perlu berusaha untuk membantu dan Kafa dinasihatkan mendekati usahawan-usahawan berjaya bagi meraih sumbangan.

"Masalah besar kita adalah kewangan. Jarang pasukan bola sepak di sini boleh untung, kalau di Eropah lainlah.

"Kita di Kelantan ini sukar untuk mencari dana, tetapi kita yakin dengan semangat kuat kita mampu untuk bergerak ke hadapan.

"Usahawan-usahawan Kelantan yang ramai dan maju berada di Kuala Lumpur, kita harap Kafa boleh mendekati mereka. Dengan bantuan dan sumbangan mereka diharap pasukan Kelantan kembali hebat," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.