Rabu, 27 November 2019

Exco: Hanya sehelai jersi dicetak bendera Perak terbalik

BERNAMA


Jersi pemain bola keranjang dengan bendera negeri Perak dicetak terbalik berpunca daripada kesilapan yang tidak disengajakan pembekal.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri Howard Lee Chuan How, berkata pemeriksaan dengan penganjur dan jurulatih pasukan mendapati hanya sehelai jersi yang terlibat.

“Mereka (pasukan bola keranjang) telah memohon maaf atas kesilapan itu dan berjanji untuk tidak mengulang kesilapan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lee berkata pihaknya akan menghantar satu surat tunjuk sebab bagi menjelaskan isu itu secara formal.

Katanya semua pasukan, persatuan dan kelab sukan negeri telah diarahkan supaya lebih cakna dan teliti terhadap lambang serta bendera rasmi negeri selaras dengan semangat patriotik.

“Semoga insiden menjadi pelajaran kepada semua pihak untuk lebih berhati-hati,” katanya.

Semalam, tular gambar pemain Perak memakai jersi dengan bendera negeri dicetak terbalik yang dikatakan beraksi pada Kejohanan Piala Lum Mun Chak di stadium bola keranjang Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA).-Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.