Rabu, 27 November 2019

Chin Peng: Abu sebesar zarah pun tidak dibenarkan masuk

Oleh Athirah Huda Zalhe

 

Veteran ATM menangis bila tahu mayat pengkhianat pulang ke Malaysia

BANGI– Jangan permainkan perjuangan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sanggup berkorban nyawa ketika tempoh darurat demi mengekalkan keamanan dan kemakmuran negara.

Demikian tegas Presiden Kelab Veteran Komando Malaysia, Sani Osman yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak tertentu membawa masuk abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke Malaysia.

Beliau berkata, tiada guna jika veteran ATM diberikan pingat jasa jika musuh yang telah menggugat keamanan negara disanjung seperti pejuang, bahkan dibenarkan kembali ke negara ini walaupun hanya sekadar abu mayat.

“Walaupun abunya hanya sebesar zarah pun, kami tidak benarkan ia dibawa masuk. Tindakan itu bukan hanya menghina pejuang ATM tetapi juga negara kerana ianya dibawa masuk ketika kita menyambut Hari Malaysia.

“Veteran-veteran ATM menangis apabila mengetahui berita ini semalam, apatah lagi ia sudah dua bulan berlalu. Sudah bertahun Chin Peng duduk di Thailand, biarlah dia di sana, tak perlu nak dibawa masuk pengkhianat balik ke negara ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, rakyat digemparkan dengan laporan berita bahawa abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa masuk ke negara ini dua bulan lalu, selepas enam tahun kematiannya.

Abu mayatnya dilaporkan tiba di Ipoh pada 16 September lalu dan ditaburkan di laut berhampiran Lumut, Perak serta sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

Kesal dengan perkara itu, Sani mempersoalkan tindakan kerajaan sekarang terhadap isu berkenaan, sedangkan pentadbiran terdahulu sudah mengeluarkan larangan supaya tidak membawa masuk abu mayat Chin Peng pada tahun 2013.

“Veteran dulu berjuang sehingga putus kaki dan tangan yang tidak boleh diganti dan kekal sehingga hari ini kerana pengganas komunis yang diketuai Chin Peng. Kenapa kerajaan seperti lupa jasa mereka?

“Kerajaan sekarang bukanlah kerajaan Malaysia tetapi komunis, kerana mengagungkan pengganas dan menjulang pengkhianat negara. Bahkan, alasan Timbalan Menteri Dalam Negeri yang tidak mengetahui perkara itu juga adalah alasan bodoh,” katanya.

Sani berkata, pihaknya kini sedang berbincang untuk mempertahankan maruah veteran ATM dan tidak menolak kemungkinan mendesak Yang di-Pertuan Agong supaya campur tangan.

“Tindakan perlu diambil oleh YDPA dengan cara membubarkan kerajaan. Saya bukan bercakap atas dasar politik, tetapi perjuangan veteran ATM.

“Jangan jolok sarang tebuan. Selama ini kita ikut telunjuk sahaja, ingat kita apa? Manusia yang boleh diikat dan diheret sesuka hati. Tolonglah jangan perbodohkan kami dan rakyat,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.