MGF03112019_RUMAH-TERBUKA-MIC-DEEPAVALI_14
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali MIC di Dewan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL
 

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan masih merahsiakan percaturan politik yang akan digunakan Barisan Nasional (BN) bagi merampas kembali kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang sedang berlangsung.

Menurut beliau, BN tidak mempunyai sebarang percaturan lagi dalam misi itu dan hanya menasihatkan agar jentera parti bekerja lebih kuat untuk kemenangan pertama MCA selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), tahun lalu.

“Kita belum ada lagi percaturan dan saya minta jentera parti terutama Wanita untuk terus berjumpa dengan seramai pengundi dan saya nasihatkan juga calon supaya pergi setiap tempat peti undi dan jangan ambil masa yang lama berceramah.

“Kenalkan diri kerana walaupun beliau bukan orang baru dan telah lama jadi Ahli Parlimen dan wakil rakyat cuma beramah mesra dan beralih ke tempat lain supaya beliau dapat berjumpa seramai mungkin pengundi di Tanjung Piai pada kali ini,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang dianjurkan MIC, hari ini.

Malah, Mohamad turut menasihatkan ahli dan pemimpin BN agar tidak terlalu yakin dengan kemenangan parti itu.

Jelasnya, BN perlu terus menggerakkan jentera dan parti seiringan dengan calon, Datuk Seri Wee Jeck Seng selagi kemenangan BN tidak dizahirkan di atas kertas undi.

“Setiap pilihan raya itu berlainan, macam main bola juga. Kita tidak boleh terlampau yakin dan rasa selesai tapi semalam kita lihat semasa perarakan ke pusat penamaan calon sambutan kebanyakan penduduk tempatan,” katanya lagi.

PRK Tanjung Piai menyaksikan pertarungan enam penjuru antara Pakatan Harapan (PH), BN, Gerakan, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan dua calon bebas bagi merebut kerusi Parlimen itu.

Mereka yang bertanding ialah Wee Jeck Seng (BN), Karmaine Sadini (PH), Wendy (Gerakan), Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa), dan dua calon Bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar. – MalaysiaGazette