RAKYAT Malaysia, Abd Helmi Ab Halim menjalani hukuman gantung di Penjara Changi, Singapura hari ini, selepas disabitkan atas kesalahan mengedar dadah pada 2017.
Pelaksanaan hukuman itu disahkan oleh Penasihat Lawyers for Liberty (LFL) N Surendran.
Abd Helmi yang berumur 36 tahun ketika ditahan pada 9 April 2015, dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura kerana mengedar 16.56 gram diamorphine pada 24 Mac 2017.
Petisyen pengampunan Abd Helmi ditolak pada Julai lalu.
Peguamnya, Mohamed Muzammil Mohamed ketika dihubungi Bernama berkata, Abd Helmi meminta beliau membawa pulang mayatnya sebaik sahaja hukuman dilaksanakan.
“Ada rancangan untuk membawa pulang jenazah ke kampungnya di Johor. Tetapi, seperti yang saya katakan, tiada ahli keluarganya yang menghubungi saya,” katanya.
Dua hari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong menggesa Singapura supaya menunjukkan belas kasihan kepada Abd Helmi dengan mengatakan bahawa ia adalah ketidakadilan dan tidak setimpal bagi keldai dadah menanggung nasib hukuman mati.
“Keadilan mesti dibalas dengan belas kasihan dan saya memohon agar Singapura melakukan sedemikian,” katanya dan menambah bagi mengekang aktiviti pengedaran dadah, ‘kingpins’ dadah serta pengedar sebenar yang berselindung dalam urus niaga pengedaran dadah ini sepatutnya dibawa ke muka pengadilan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.