Mahkamah Koroner Shah Alam diminta mempercepat prosiding permohonan komital (menghina mahkamah) berhubung inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang dijadual 14 November ini.
Kata peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, jika tidak, ia akan melengah-lengahkan perjalanan kes yang mendapat perhatian banyak pihak.
Ia susulan permohonan responden, Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavathy untuk menggantung (stay) pendengaran tersebut bagi memberi ruang pihak mereka menghabiskan dahulu rayuan ke atas keputusan mahkamah koroner pada 27 Ogos yang membenarkan prosiding komital dimulakan terhadap peguam negara (AG).
Narkunavathy mewakili Peguam Negara Tommy Thomas.
“Prinsip undang-undang sekarang tak membenarkan kelonggaran untuk nak tangguh mana-mana prosiding semena-mena sahaja. Ujiannya ketat (untuk dibenarkan).
“Biar (rayuan terhadap) leave itu selesai, biar mahkamah dengar (permohonan) substantif, kemudian bila hendak buat rayuan, mana-mana pihak boleh bangkitkan isun-isu ini semasa rayuan.
“Kalau tak dia akan melengahkan proses mahkamah dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di luar mahkamah.
Pendengaran berlangsung di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.
Terdahulu, menjawab hujahan Haniff ketika pendengaran, Narkunavathy menyifatkan kes tersebut tidak boleh disamakan dengan kes Najib, dan berkata mahkamah mempunyai budi bicara mutlak untuk menangguhkan prosiding.
Jelasnya, pihaknya hanya mengetahui bahawa rayuan yang difailkan itu menjadi rayuan jenayah selepas bertanya kepada hakim ketika rayuan itu didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
“Kamu (Haniff) tak ada semasa itu (permohonan rayuan),” katanya di hadapan koroner.
Pada 16 Julai, bapa Allahyarham Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) terhadap AG bagi memulakan prosiding komital (hina mahkamah) berhubung kes inkuiri arwah anaknya.
Dalam permohonan itu, dia mendakwa AG telah membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 3 April lepas.
Ia bagi menuntut Thomas memohon maaf atas afidavit yang menyebut Adib meninggal dunia bukan disebabkan kecederaan akibat serangan, yang dikatakan jelas mengganggu prosiding inkues.
Sementara itu, Haniff turut mempersoalkan kenapa responden tidak membuat sebarang usaha untuk mempecepatkan pendengaran rayuan terhadap keputusan mahkamah koroner membenarkan permohonan prosiding komital itu didengar.
“Tak ada langsung. Di sini dia minta tangguh sampai (tarikh) rayuan, tapi rayuan tak (dimohon untuk) dipercepatkan [...]
“Pokoknya, bagi kami mahkamah sepatutnya melaksanakan budi bicara dengan menolak (permohonan),” katanya lagi.
Pada 27 Ogos, Mahkamah Koroner Shah Alam memberi kebenaran kepada keluarga Muhammad Adib untuk memulakan prosiding komital kerana menghina mahkamah ke atas AG, kerana berpandangan wujud prima facie atas imbangan keberangkatan oleh keluarga Adib.
Pada 26 September, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan Thomas yang memohon prosiding permohonan komital yang difailkan bapa Mohd Kassim diterima sebagai rayuan sivil.
Keputusan terhadap permohonan penggantungan itu diputuskan 4 November.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.