Ahli Parlimen Umno, Noh Omar sekali lagi akan mengemukakan soalan mengenai keberadaan empat suspek yang ditahan berhubung kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim pada sidang Dewan Rakyat yang bakal bermula minggu depan.
Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata beliau tidak berpuas hati dengan jawapan sebelum ini apabila beliau membangkitkan perkara itu pada sidang yang terakhir.
“Pada sidang parlimen yang lalu, saya telah meminta Menteri Dalam Negeri (Muhyiddin Yassin) menjawab di manakah empat orang suspek tersebut. Adakah masih berada dalam negara ataupun tidak. Namun sayangnya soalan saya ini tidak terpilih dan hanya dijawab secara bertulis.
“Persoalan sekarang ini adalah jika pihak polis mahu memanggil empat orang suspek tersebut, adakah mereka masih berada dalam negara?” katanya yang dipetik oleh portal Umno-Online.
Dalam jawapan bertulis kepada Noh bertarikh 9 Julai, Kementerian Dalam Negeri berkata empat suspek itu telah ditahan dan percakapan mereka telah dirakamkan.
"Kesemua suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis kerana hasil siasatan mendapati tiada keterangan atau petunjuk untuk mengaitkan mereka dengan kes ini.
"Tiada keperluan untuk pihak polis memantau pergerakan keempat-empat individu yang dibebaskan itu kerana mereka tidak lagi berada dalam siasatan pihak polis.
"Namun sekiranya ada petunjuk baru yang boleh mengaitkan keempat-empat atau mana-mana individu dengan kes ini, maka pihak polis akan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.
Adib, 24, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember akibat kecederaannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.