Atasi masalah 'ali baba', jangan ulangi lagi kesilapan DEB: Amir Isma
BANGI– Gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) meminta kerajaan
menggunakan platform Bajet 2020 untuk memberi penekanan kepada agihan
ekonomi yang adil dan mengekalkan dasar afirmatif.
Amir Isma, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman
berkata, kerajaan perlu mewujudkan rangkaian ekonomi Bumiputera yang
menyeluruh supaya mereka dapat bersaing dengan bangsa lain.
“Beri peruntukan kepada perusahaan Bumiputera bagi memastikan pembekalan dan pemasaran mereka kondusif sehingga mampu bersaing.
“Jangan lupa kepada masyarakat miskin
bandar dan juga pembangunan luar bandar. Selain itu, bajet pengurusan
perlu dikurangkan sementara bajet pembangunan diperbanyakkan,” katanya
kepada Ismaweb hari ini.
Pada masa sama, Ustaz Abdullah
menyarankan kerajaan mengatasi masalah ‘ali baba’ dan tidak mengulangi
kesilapan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang memberi kekayaan kepada bukan
Bumiputera.
“Kerajaan PH juga perlu mempertimbangkan pembangunan ekonomi rakyat bukan kayakan tauke-tauke,” katanya.
Pemimpin gerakan Islam itu juga berharap
kerajaan memfokuskan ekonomi digital, berikutan ia menjadi perbincangan
di Asia Tenggara yang teruja dengan perkembangan semasa.
Sebelum ini, Laporan Ekonomi Digital
Malaysia yang dikeluarkan World Bank Group mengakui ekonomi digital
negara meningkat secara purata, sebanyak sembilan peratus setahun sejak
2010 hingga 2016, dan dijangka berkembang pesat dan menghampiri 20
peratus daripada ekonomi negara menjelang 2020.
Tahun ini adalah kali kedua buat kerajaan
Pakatan Harapan (PH) membentangkan belanjawan selepas memenangi pilihan
raya umum (PRU) tahun lalu.
Bajet 2019 adalah belanjawan ‘sulung’
bagi kerajaan PH dengan memperlihatkan penstrukturan semula perbelanjaan
negara, walaupun tiada kelainan drastik berbanding dengan bajet
sebelumnya oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.