THE MALAYSIAN TIMES
PONTIAN: Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 16 Nov ini.
Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis mengumumkan calon dan pelancaran jentera PH PRK di Dewan Hai Kee, di sini, petang ini.
Muhyiddin, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata meskipun ramai calon yang berkelayakan untuk bertanding di kerusi parlimen itu, pemilihan Karmaine sebagai calon adalah satu pilihan yang tepat bersesuaian dengan kriteria-kriteria yang digariskan oleh PH.
“Memang banyak nama yang diberikan tetapi pihak pimpinan berpendapat Karmaine calon yang sesuai berdasarkan beberapa ciri iaitu dia anak tempatan, dilahirkan di sini dan berkelayakan.
“Ini kriteria yang difikirkan oleh pimpinan sesuai untuk meneruskan kesinambungan perjuangan Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik di Tanjung Piai, kerana kawasan ini masih memerlukan pembangunan dari segi ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain lagi,” kata beliau kepada pemberita selepas majlis itu, di sini, hari ini.
Muhyiddin turut menyifatkan tanggungjawab Karmaine amat berat memandangkan beliau bukan sahaja akan meneruskan kerja-kerja yang ditinggalkan oleh Allahyarham Dr Md Farid tetapi pada masa sama memberi layanan yang adil dan saksama kepada masyarakat berbilang kaum di situ sekiranya dipilih.
“Saya yakin bahawa apabila beliau dipilih selepas 16hb, Insya-Allah, kerja-kerja untuk melaksanakan tugas akan mudah. Kenapa?
“Kerana sebagai wakil rakyat PH, kalau isu berkaitan negeri, dia boleh berjumpa Menteri Besar Johor dan jika berkaitan urusan Kerajaan Negeri, akan jadi lebih mudah, bantuan dan peruntukan disalurkan kepada beliau bagi membangunkan Tanjung Piai,” kata Muhyiddin.
Ketika ditanya mengenai persediaan PH, Muhyiddin berkata jentera PH telah bergerak dan beliau berpuas hati dengan persiapan jentera sejak sebulan lepas.
“Kita juga tahu apa isu dan masalah yang dihadapi masyarakat tempatan. Sebahagian besar telah diselesaikan, bukan sebab pilihan raya tetapi secara kebetulan pilihan raya diadakan… seperti projek-projek pembangunan yang sedang dijalankan,” kata Muhyiddin, yang juga Menteri Dalam Negeri.
Beliau berkata usaha jentera turut akan difokuskan bukan sahaja kepada 16 Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tetapi juga dalam mempertahankan PDM yang menang pada PRU berkenaan.
Terdahulu, dalam ucapannya, Muhyiddin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung peruntukan tambahan sebanyak RM7 juta bagi pembangunan Parlimen Tanjung Piai.
Sebelum ini, parlimen itu menerima peruntukan RM14.7 juta melibatkan 17 projek pembangunan hasil usaha Dr Md Farid.
Dr Md Farid, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, meninggal dunia pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.
Beliau, yang juga seorang pakar bius, menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Seri Wee Jeck Seng dan Nordin Othman dari PAS dengan majoriti 524 undi pada PRU14.—Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.