Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengakui kerajaan kini menjadi mangsa kepada manifesto mereka sendiri.
Katanya, PH sentiasa komited untuk memansuhkan beberapa undang-undang drakonian seperti yang dijanjikan sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu, namun ia tidak semudah yang disangkakan.
“Sebenarnya, kami ingat kami akan kalah, jadi kami letak perkara-perkara yang susah (untuk direalisasikan) dalam manifesto, supaya jika kami kalah, kerajaan (lama) akan terperangkap.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dalam Persidangan Lawasia Constitutional and Rule of Law di Hotel One World, Petaling Jaya hari ini.
Katanya, proses memansuhkan undang-undang yang melibatkan perlembagaan perlulah mendapat sokongan dua pertiga parlimen- sesuatu yang tidak dimiliki oleh kerajaan pemerintah sekarang.
Sedangkan, tambahnya, rakyat mahu melihat perubahan dalam kadar yang segera.
“Rakyat tidak sabar, mereka mahu undang-undang ini dimansuhkan segera. Itu tak mungkin dapat dilakukan. Dan hari ini kami dikritik kerana tidak mengotakan janji.
“Memang mudah membuat janji ketika PRU, tapi tak mudah nak tunaikannya bila dah menang PRU,” katanya lagi.
Antara janji PH dalam manifesto mereka adalah untuk memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018, Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.