Lagu kebangsaan identiti negara, bukan boleh ditukar sewenangnya
KUCHING– Lagu ‘Negaraku’ tidak perlu ditukar hanya kerana beberapa pihak
mempertikaikan keasliannya, tegas Menteri Pelancongan,
Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman
Hamzah.
Katanya,
lagu kebangsaan berkenaan yang dipersetujui digunakan semua negeri
termasuk Sarawak ketika menyertai Malaysia pada 1963, merupakan identiti
negara dan bukannya sesuatu yang boleh ditukar sewenangnya,
seperti lagu-lagu hiburan.
“Kalau
lagu kebangsaan (Negaraku) itu sudah diterima, kita akur dan kita
hormati lagu itu. Janganlah dipersendakan dengan mengatakan ianya dibuat
oleh orang putih dan sebagainya,” katanya selepas merasmikan Acara What
About Kuching (WAK) Ke-3 dan Persidangan Manik Antarabangsa Borneo
Ke-6, di sini, hari ini.
Beliau
berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Presiden Parti Bumi
Kenyalang, Voon Lee Shan seperti dilapor media tempatan yang mahu lagu
itu ditukar kerana kurang asli dan berasal dari rentak “Le Rosalie”
ditulis ahli muzik Perancis, Pierre-Jean de Beranger.
Abdul
Karim berkata, sekiranya ada pihak yang merasakan Sarawak tidak mendapat
hak sepatutnya dalam Malaysia, ketidakpuasan hati mereka perlu
ditunjukkan di platform lebih sesuai bukannya dengan tidak menghormati
lagu kebangsaan.
“Itu boleh
ditunjukkan mereka ketika pilihan raya dan bukan ditunjukkan ketika
lagu kebangsaan (Negaraku) berkumandang ataupun tidak menghormati
bendera (Malaysia) yang sedang dinaikkan,” katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.