Isnin, 28 Oktober 2019

GBM kesal dengan kecaman Anwar terhadap ahli akademik

MALAYSIAKINI



Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) menyuarakan kekecewaannya terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim yang mengecam ahli akademik Dr Lim Teck Ghee, susulan kritikannya terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi GBM Zaid Kamaruddin berkata Anwar atau mana-mana pemimpin PH boleh untuk tidak bersetuju dengan kenyataan itu tetapi seharusnya melakukannya secara rasional dan berasaskan fakta, bukannya kritikan peribadi.

"Akhirnya 27 anggota GBM seperti gerakan masyarakat sivil lain, yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam Reformasi, mahu melihat kerajaan PH berjaya membina Malaysia yang lebih baik.

"(Sebagai negara) yang mengangkat nilai-nilai seperti keadilan, kesamaan, muhibah, kemakmuran bersama dan persaudaraan untuk setiap rakyat," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Lim yang juga penasihat GBM berkata kerajaan PH ialah bencana tidak terkawal (unmitigated disaster) kepada negara dan kadar kekecewaan terhadapnya semakin meluas.

"Pendidikan, tadbir urus, hubungan kaum, hubungan agama, kegagalan daripada Icerd, Zakir Naik, Kongres Maruah Melayu dan banyak lagi. Senarai kekecewaan dan kegagalan politik terus meningkat," katanya.
Lim Teck Ghee
Kenyataan itu disanggah Anwar yang menyifatkan kenyataan seperti itu hanya akan keluar dari ahli akademik yang mengambil sikap membisu ketika rasuah berleluasa dalam negara.

"Sepatutnya bicara (bangkitkan) apa yang patut kita lakukan. Mengapa boleh kita diam bila rompakan besar berlaku," kata Anwar lagi.

Mengulas lanjut, Zaid berkata Anwar sepatutnya membaca dahulu tulisan Lim, antaranya bertajuk “Challenging Malaysia’s Status Quo” sebelum mengkritiknya.

"Beliau lantang dalam soal korupsi dan pembaziran BN ketika Anwar berada dalam penjara Sungai Buloh. Walaupun seorang akademik, beliau ada kebolehan yang tinggi untuk merasai denyut nadi masyarakat," katanya, yang membangkitkan perana Lim sebelum ini pernah menjadi penasihat dalam PBB dan ahli ekonomi kanan Bank Dunia.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.