Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin menegur pemimpin DAP
susulan dua kenyataan yang dipetik media kelihatan seperti mempersoalkan
kepimpinan perdana menteri.
"Saya merujuk dua kenyataan yang dikeluarkan pemimpin DAP yang dipetik media seolah-olah mempertikai kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
"Segala buah fikiran, idea dan cadangan yang difikirkan dapat mencapai hasrat Malaysia baru boleh disalurkan melalui koalisi Pakatan Harapan yang merupakan medium paling tepat.
Walaupun tidak menamakan pemimpin DAP yang mengeluarkan dua kenyataan berkenaan, Zuraida dipercayai merujuk kepada MP Klang Charles Santiago dan Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang P Ramasamy.
Kedua pemimpin DAP ini memberi maklum balas mereka terhadap kenyataan perdana menteri pada 29 Ogos lalu yang membayangkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim tidak akan menjadi sebahagian daripada pasukan kabinetnya apabila beliau membuat perubahan kecil dalam portfolio jemaah menteri tidak lama lagi.
"Oleh
kerana tiada siapa yang mengatakan mereka ingin meletakkan jawatan,
kami tidak mempunyai kekosongan (untuk menampung Anwar)," kata Dr
Mahathir menjawab soalan pemberita mengapa tidak mengundang presiden PKR
menyertai kabinet ketika beliau mempertimbangkan untuk menukar
portfolio kabinet dan dalam keadaan terdapat tekanan untuk peralihan
kuasa.
Sementara itu, Ramasamy pula menggesa perdana menteri menghormati pelan peralihan kuasa PH yang meletakkan Anwar sebagai pengganti Mahathir.
Bagaimanapun, Zuraida yang juga menteri kabinet menjelaskan Mahathir akan mengotakan janji meletak jawatan perdana menteri apabila sesuai pada waktunya.
"Dalam semangat merdeka, saya berharap agar kita hentikan polemik ini segera memandangkan perdana menteri sendiri berulang kali menyatakan bahawa beliau akan mengotakan janjinya untuk meletak jawatan apabila sesuai waktunya kelak.
"Sebagai anggota kerajaan, biarlah perdana menteri menyelesaikan misi kita bersama.
"Sebagai anggota kabinet, saya juga bertanggungjawab di atas semua keputusan kabinet yang diambil selama ini," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.