Tiada wanita muslim berani gadai maruah jika sahabat Nabi masih hidup
WANITA sangat sinonim
dengan sifat malu, berbudi bahasa, lemah lembut dan manis tutur
katanya. Adakah semua sifat tersebut menafikan wanita perlu kepada sifat
berani , tangkas serta tahan lasak? Bagaimana pula dengan kisah
sahabiat seperti Khaulah binti Azwar yang turut serta berperang untuk
menyelamatkan abangnya dari tahanan Rom, begitu juga Khansa’ , seorang
ibu yang meratapi tiga orang anaknya yang mati syahid ketika berperang
melawan kufar.
Ratapannya bukan kerana kematian
anak-anak yang disayangi, tetapi beliau sudah tiada lagi anak untuk
menempa kesyahidan. Begitu juga kisah Siti Hajar yang ditinggalkan oleh
suaminya iaitu Nabi Ibrahim A.S di tanah kering kontang kerana akur
arahan dari wahyu Ilahi. Kesimpulannya, perjalanan kehidupan mereka
cukup membuktikan wanita sangat memerlukan sifat keberanian untuk
mempertahankan kebenaran dan maruah Islam.
Sebelum kedatangan Islam, wanita
dijadikan alat untuk memuaskan nafsu dan mereka tidak di beri ruang
langsung untuk menyatakan sesuatu, bahkan wanita dianggap begitu hina
dan jijik. Inilah yang digambarkan oleh al-Quran, sepertimana firman
Allah SWT yang bermaksud:
“Dan apabila dikhabarkan kepada
seseorang daripada mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah
mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan
perasaan marahnya dalam hati. Ia bersembunyi daripada orang ramai kerana
(berasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya
(tentang kelahiran anak perempuan): adakah ia akan memelihara anak itu
dalam keadaan yang hina atau ia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah?
Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.” (Surah An-Nahl, ayat 58-59)
Kedatangan Islam telah mengubah kedudukan
wanita dengan memberi hak yang sama seperti kaum Adam. Peluang ini
telah digunakan sepenuhnya oleh para sahabiah dizaman Rasulullah ﷺ
seperti Saidatina Aisyah, Ummu Salamah, Rufaida, Asma’ dan ramai lagi
untuk berganding bahu demi mempertahankan perjuangan Islam. Yang berat
sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Bulat air kerana pembentung,
bulat manusia kerana muaafakat.
Justeru itu, era ini sangat memerlukan
wanita yang menyamai keberaniannya seperti Asma binti Abu Bakar, sanggup
menghadapi kesukaran dan kepayahan hanyalah untuk menyelamatkan nyawa
baginda Rasulullah ﷺ.
Ketika itu beliau sedang sarat
mengandung, namun keberaniannya telah mengatasi segala-galanya. Beliau
tetap akan membawa bekalan makanan walaupun musuh Islam sentiasa
berlegar siang dan malam untuk membunuh Rasulullah ﷺ. Sehubungan itu,
arus kejahilan moden telah mengubah tindak tanduk dan cara berfikir
wanita muslimat kini, ketika larangan memakai tudung menjadi polimik di
hotel. Pada tahun 2017, Presiden Malaysian Association of Hotels (MAH),
Cheah Swee Hee, dilaporkan mempertahankan tindakan hotel melarang wanita
Islam bertudung bekerja di bahagian khidmat pelanggan kerana ia
sebahagian daripada polisi antarabangsa.
Bagaimana tindak balas wanita muslimah di
Malaysia ketika itu? Ramai yang tidak mengambil peduli bahkan ada yang
tidak tahu langsung diskriminasi yang sedang dilakukan terhadap wanita
yang cuba menjaga aurat mereka. Adakah sifat keberanian wanita moden
kini, hanya digunakan untuk mendaki bukit, membuat terjunan tinggi atau
ketika berkayak ? Keberaniaan yang sebenarnya adalah ketika mana ketika
mempertahankan hak agama Islam.
Hai orang-orang yang beriman, jadilah
kamu penolong (agama) Allah sebagaimana ‘Isa ibnu Maryam telah berkata
kepada pengikut-pengikutnya yang setia: “Siapakah yang akan menjadi
penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?” Pengikut-pengikut
yang setia itu berkata: “Kamilah penolong-penolong agama Allah”….’ (QS 61: 14)
Dalil ini membuktikan bahawa orang yang membela agama mesti dizahirkan secara lisan dan seluruh tindak tanduknya.
Begitu juga wanita muslimah kini,
dieksploitasi dengan menjadikan wajah,tubuh badan serta suara mereka
untuk melariskan produk kecantikan, makanan, perhiasan majalah dan
ruang-ruang iklan yang ada, samada melalui media cetak atau elektronik.
Tanpa disedari , sifat malu semakin dibuangkan dan diambil alih sifat
‘peduli apa orang kata’.
Bagi pihak masyarakat pula, ianya
bukanlah satu kesalahan kerana perbuatan itu adalah hak peribadi
seseorang. Tiada siapa boleh mencampuri urusan dan menceroboh hak
individu lain. Adakah umat Islam telah lupa kepada pesanan Rasulullah ﷺ?
Apabila kamu melihat sesuatu kemungkaran hendaklah diubah dengan
tangan(kuasa), apabila kamu tidak mampu cegahlah dengan lidah
kamu(menasihati) dan apabila tidak mampu hendaklah dibenci kemungkaran
terbabit, itulah selemah-lemahnya iman.
Kejahilan memahami Islam sebagai cara
hidup semakin terserlah dikalangan generasi muda hari ini. Tidak mungkin
akan lahir sikap berani untuk mempertahankan maruah diri tanpa ada
kefahaman dan penghayatan Islam yang sebenarnya. Bahkan semakin ramai
wanita Muslim yang bercita-cita untuk menjadi artis iaitu sebagai
pelakon, penyanyi dan pelawak. Bukti lebih jelas, ketika diadakan uji
bakat , kebanyakan yang hadir adalah dari kanak-kanak dan wanita Muslim.
Kalau seandainya ketika ini, adanya susuk
tubuh seperti Nusaibah binti Kaab, Saidatina Aisyah binti Abu Bakar dan
Hafsah binti Umar, nescaya tiada wanita Muslim yang berani menggadaikan
maruah diri dan pihak yang tidak bertanggungjawab juga akan berlari
ketakutan, kerana pastinya pedang Nusaibah akan berpusing ke kanan dan
ke kiri sepertimana peristiwa perang Uhud. Bagaimana Nusaibah
mempertahankan Rasulullah ﷺ ketika Baginda ﷺ dikepung oleh orang
Quraisy. Rasulullah ﷺ memandang ke kanan nampak Nusaibah, toleh ke kiri
juga nampak Nusaibah. Begitulah kehebatan para sahabiah ketika
mempertahankan kebenaran. Mereka tidak menuntut keredaan selain dari
Allah SWT.
Keberanian wanita tidak akan terbina
tanpa ilmu pengetahuan. Pada zaman kecanggihan ini, umat memerlukan
ketokohan dan kewibawaan yang menyerupai Saidatina Aisyah. Beliau adalah
ummul mukminin yang menjadi sumber rujukan dan pusat pendidikan yang
amat agung. Betapa hebatnya Saidatina Aisyah dari sudut penguasaan
ilmunya sehingga jasanya dirasai sepanjang zaman. Jasa terbesar Aisyah
bagi seluruh kaum wanita di dunia kerana ia mampu menunaikan seluruh
kewajipan dan tanggungjawab dalam bidang dakwah, pendidikan dan
pembabitan kemasyarakatan. Secara dasarnya, kehidupan Aisyah adalah
neraca bagi kedudukan dan martabat wanita yang dianugerahkan oleh Islam
kepada kaum wanita dan model yang hidup bagi mencapai ketinggian di
dunia dan di akhirat.
Justeru itu, musuh Islam sentiasa
mengintai dan mencari peluang untuk menjatuhkan Islam, melalui pelbagai
pendekatan seperti tohmahan golongan Syiah kepada Saidatina Aisyah
dengan gelaran yang begitu jijik seperti ‘humaira’ ditukarkan dengan
‘himar’ (keldai). Mereka tujuan lain mereka, selain hanya menjauhkan
umat Islam daripada sumber yang asal iaitu hadis nabawi. Sedangkan
Saidatina Aisyah adalah diantara perawi hadis yang paling banyak
disamping Abu Hurairah dan sahabat yang lain. Sebanyak 1,210 hadis yang
beliau riwayatkan telah disepakati oleh Imam Bukhari dan Muslim dan 174
hadis yang hanya diriwayatkan oleh Imam Bukhari serta 54 hadith yang
hanya diriwayatkan oleh Imam Muslim.
Ini jelas membuktikan, apabila mereka
menghina Saidatina Aisyah, secara sedar atau tidak mereka telah menolak
hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Mereka begitu
licik dalam melaksanakan operasi memurtadkan umat Islam. Justeru itu,
bagi kaum wanita pada era globilasasi ini, penekanan kepada
mengembalikan wanita yang beriman , iffah dan intelektual tidak hanya
kepada ilmu yang diperolehi melalui segulung ijazah teotikal sahaja,
tetapi apa yang lebih utama adalah pengamalan dan berusaha
mengemblingkan tenaga untuk memberi kefahaman kepada setiap wanita
Muslimah agar mencapai kebahagiaan yang hakiki. Kata pepatah Arab, ilmu
yang tidak diamalkan seperti pokok yang tidak berbuah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.