Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
Roadshow fasa pertama bermula 8 September di Pulau Pinang
KUALA LUMPUR – Istilah memboikot produk bukan muslim hanyalah label yang dikeluarkan
oleh pemimpin politik, bukannya peniaga mahupun pengusaha Islam, tegas
Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa.
Beliau
berkata, istilah itu adalah tidak benar dan bukan objektif utama Kempen
Beli Produk Muslim yang digerakkan oleh UMMAH bersama pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) yang lain.
Menerusi
kempen ini, UMMAH hanya mengharapkan sokongan daripada umat Islam di
seluruh negara bagi membantu peniaga dan pengusaha muslim.
“Jumlah
penduduk muslim di Malaysia ini sebanyak 20 juta, kita harapkan 20 juta
ini dapat beli produk muslim. Justeru, kita tak pernah sebut boikot
produk bukan muslim. Kita cuma minta umat Islam satukan usaha membeli
produk muslim.
“Sekiranya
tidak ada produk muslim, barulah mereka boleh mempertimbang untuk
membeli produk lain. Kita tegaskan bahawa tiada istilah boikot produk
bukan muslim dan beranggapan istilah itu berniat jahat kerana memberi
prasangka buruk kepada ahli-ahli perniagaan Islam,” katanya dalam sidang
media di Taman Melawati, Gombak, hari ini.
Pada masa
sama, beliau memaklumkan UMMAH telah mengadakan dua kempen besar pada
tahun ini – pertama pada bulan April dan kedua pada bulan Julai.
Untuk memperkasakan lagi kempen ini, UMMAH bersama NGO lain akan mengadakan ‘roadshow’ dalam beberapa fasa.
“Fasa pertama akan dijalankan di bahagian Utara bermula Pulau Pinang pada 8 September, diikuti Kedah pada 9 September.
“Seterusnya
pada 16 September akan di teruskan di Wilayah Persekutuan dan Selangor.
Akhir sekali di Johor. Semua pengusaha produk muslim boleh bertemu kita
di roadshow ini. Kita akan buat penerangan kepada pengeluar supaya
mereka dapat bergabung bersama-sama,” katanya
Beliau
berkata, selepas kempen fasa pertama selesai, UMMAH dengan kerjasama
ABATA Commerce Sdn Bhd, akan melancarkan sebuah aplikasi baharu bagi
memasarkan produk muslim.
“Kita sasarkan sebanyak 300 produk muslim akan terbabit sama dalam aplikasi berkenaan,” katanya
Antara yang
turut terbabit menjayakan kempen ini adalah Koperasi Al-Hilal Malaysia
Berhad (KOHILAL), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta ABATA
Commerce Sdn Bhd.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.