Sabtu, 28 September 2019

Tokyo 2020: Tak cukup RM1 bilion, KBS harap peruntukan ditambah

MALAYSIAKINI

   

Kementerian Kewangan diharap meningkatkan peruntukan bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Belanjawan 2020, berbanding peruntukan RM1 bilion tahun ini.

Timbalan Menteri KBS, Steven Sim Chee Keong berkata peruntukan tambahan itu penting bukan sahaja untuk persediaan terakhir ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, tetapi juga untuk pembangunan sukan di peringkat akar umbi.

“Kalau kita ingin menyasarkan pingat emas di Sukan Olimpik, saya rasa bukan sahaja di Tokyo, tapi juga di Paris (2024) dan Los Angeles (2028), maka kita perlu bermula dengan pembangunan akar umbi sekarang. Kita juga ingin melihat kepada peruntukan dana yang lebih banyak kepada sukan untuk wanita.

“Itu merupakan satu visi Menteri (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman), jadi saya harap kita akan dapat peruntukan yang munasabah ke arah itu,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Persidangan Undang-undang Sukan Antarabangsa di Pusat Arbitrasi Antarabangsa Asia (AIAC) hari ini.

Belanjawan 2020 akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Parlimen pada 11 Okt ini.

Mengulas lanjut, Steven berkata walaupun pada 2019 KBS menerima peruntukan yang sama dengan tahun sebelumnya, pihaknya dapat merenggangkan bajet itu menerusi strategi urus tadbir yang baik untuk membuat lebih banyak perkara.

Beliau berkata ia dapat dilakukan menerusi langkah-langkah penjimatan dan proses tender terbuka, yang mana sebanyak 80 peratus penjimatan dilakukan dalam program Fit Malaysia, manakala tender terbuka bagi perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) menyaksikan penjimatan 30 peratus.

Turut hadir, bekas Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar.
- Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.