Isnin, 23 September 2019

PRK Tg Piai: Tak timbul soal cabaran undang-undang, kata SPR


   

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata pindaan yang diwartakan terhadap Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini masih belum lagi dikuatkuasakan, jadi tidak timbul isu cabaran undang-undang terhadap Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang bakal berlangsung.

Katanya, pewartaan pada 10 September itu hanya dikeluarkan bagi menyatakan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan pendaftaran pengundi secara automatik (AVR).

Pindaan itu juga untuk menurunkan had umur mengundi serta usia calon yang bertanding dalam pilihan raya dari 21 tahun menjadi 18 tahun.

“Terdapat beberapa jenis warta. Pewartaan (pada 10 September) adalah untuk menyatakan pindaan yang telah dibuat terhadap Perlembagaan Persekutuan.

“Semua tiga pindaan ini belum lagi dikuatkuasakan,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai di Johor kosong susulan penyandangnya, bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Dr Farid Md Rafik meninggal dunia pada Sabtu lepas.


Azhar berkata SPR telah menerima notis rasmi berkenaan kekosongan tersebut dan mesyuarat khas akan diadakan di Putrajaya pada Selasa depan bagi menentukan tarikh pencalonan, tempoh berkempen dan hari mengundi.

“Biasanya, bila kita mempunyai PRK, SPR akan membuat keputusan berkenaan daftar pemilih yang akan digunakan dan ini biasanya merupakan senarai pilihan raya terakhir yang diwartakan.

“Daftar pemilih diwartakan pada setiap tiga bulan,” katanya.

PRK Tanjung Piai akan menjadi pilihan raya pertama yang diadakan selepas pindaan perlembagaan diluluskan dan digazetkan, menimbulkan persoalan mengenai kesediaan SPR untuk melaksanakan perubahan tersebut.

Minggu lalu, kumpulan reformasi pilihan raya, Bersih menyarankan supaya belia berumur 18 ke 21 tahun dibenarkan mendaftar dengan mengisi borang melalui laman web SPR atau pejabatnya, di pejabat pos atau dengan penolong pegawai pendaftaran.

Ini sementara sistem pendataran pengundi secara automatik (AVR) siap.

SPR menjelaskan proses menyediakan sistem AVR proses dimana SPR boleh mengambil masa sehingga dua tahun.

Peguam tak setuju pengerusi SPR

Bertentangan dengan kenyataan Azhar bahawa tiga pindaan itu belum lagi berkuatkuasa, peguam syariah Nizam Bashir berkata SPR kini terikat dengan peruntukan untuk membolehkan calon berusia 18 tahun untuk bertanding dalam pilihan raya, termasuk dalam PRK Tanjung Piai .

“Penting untuk diberitahu bahawa pindaan terhadap Perkara 119 (1) (a) dan 119 (4) (b) hanya akan berkuatkuasa pada tarikh yang akan diumumkan selepas mendapat persetujuan daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Pendek kata, penurunan umur pengundi masih belum berkuatkuasa. Bagaimanapun penurunan umur calon kini dikuatkuasakan di bawah perlembagaan,” kata Nizam (gambar, bawah).

Jelasnya, penolakan SPR untuk membenarkan calon berumur sekurangnya 18 tahun untuk bertanding boleh digunakan sebagai alasan untuk mencabar perlembagaan PRK.

Sementara itu, peguam Lim Wei Jiet turut bersetuju dengan pandangan Nizam.

“Pindaan untuk menurunkan usia calon pilihan raya ke 18 tahun akan berkuatkuasa pada tarikh rang undang-undang pindaan itu sendiri diwartakan.

“Rang undang-undang pindaan itu telah diwartakan pada 10 September, 2019. Oleh itu SPR perlu menguatkuasakan pindaan ketiga (perlembagaan itu) dalam PRK Tanjung Piai.

“Dalam erti kata lain, sekiranya terdapat remaja berumur 18 tahun ingin bertanding pada PRK Tanjung Piai, dia harus dibenarkan untuk berbuat demikian,” katanya lagi.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.