GEORGE TOWN: Satu gabungan 40 kumpulan kepentingan orang Islam merancang untuk menunjuk perasaan terhadap Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) pada Ahad dengan harapan suatu kata sepakat boleh dicapai dengan kerajaan negeri.
Ketua Ummah Pulau Pinang, Mohd Akhir Che Mat berkata tujuan tunjuk perasaan itu bagi mempertahankan hak kira-kira 5,000 nelayan yang mendakwa mata pencarian mereka akan terkesan dengan projek itu.
PSR merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion melalui tambakan 3 pulau buatan seluas 4,000 ekar tanah di Permatang Damar Laut.
Akhir berkata mereka faham projek itu sudah mendapat kelulusan, tetapi mereka berharap tunjuk perasaan Ahad nanti boleh mengubah fikiran pihak berkuasa.
“Kita tak menentang pembangunan, tetapi kita mahu PTMP dikaji semula dan projek tambakan dibatalkan.
“Kami mahu PTMP dikaji semula supaya projek-projek itu menggerakkan orang, bukannya kenderaan,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau menambah kata sepakat nampaknya tercapai dalam satu pertemuan antara Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
“Kita tahu ia sudah diluluskan, tetapi kami rasa ada ruang untuk mengkaji semula projek itu. Sebab itu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hantar Anwar untuk bercakap dengan para nelayan,” katanya.
Dalam mesyuarat yang berlangsung bulan lepas, Anwar dan Chow diberi taklimat mengenai PSR.
Chow kemudian berkata kerajaan negeri akan mengecilkan skala projek tambakan itu jika Putrajaya setuju membiayai LRT dan Lebuh Raya Pan Island Link 1.
Akhir menjangkakan lebih 5,000 orang termasuk pemimpin pembangkang dari Umno dan PAS akan menyertai tunjuk perasaan itu, yang akan diadakan di padang Permatang Damar Laut.
“Kami dapat respon yang baik daripada polis dan kami berharap akan dapat permit dalam masa terdekat,” katanya.
“Jika perlu kami akan terus berjuang sehingga ke pilihan raya akan datang.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.