THE MALAYSIAN TIMES
PUTRAJAYA: Seramai 280 pelajar Malaysia di Pekanbaru dan Jambi, Indonesia akan dipindahkan ekoran pengumuman darurat di Riau akibat jerebu, kata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Daripada jumlah tersebut, 160 pelajar akan dibawa pulang ke Malaysia manakala 120 akan dipindahkan ke Dewan Malaysia di Jakarta, Indonesia, kata NADMA dalam kenyataan hari ini.
NADMA, Wisma Putra dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta agensi berkaitan bermesyuarat hari ini untuk membincangkan operasi pemindahan dan membawa pulang 160 pelajar Malaysia di Pekanbaru dan Jambi, kata agensi itu.
Menurut Konsulat Malaysia di Pekanbaru dan Education Malaysia Indonesia, 280 pelajar yang perlu dipindahkan itu terdiri daripada 183 orang di Pekanbaru dan 97 di Jambi.
Menurut NADMA, Gabenor Riau, Syamsuar, telah mengisytiharkan darurat bermula 23 Sept hingga 31 Okt dan akan dilanjutkan jika keadaan pencemaran udara tidak berubah.
Sehingga semalam, jarak penampakan di kawasan tersebut adalah 500 meter dengan bacaan Indeks Standard Pencemaran (PSI) 600.
Mengenai situasi jerebu di Malaysia, NADMA berkata secara amnya ia bertambah baik ekoran fasa peralihan monsun yang bermula hari ini dan akan berterusan sehingga awal November 2019.
“Fasa peralihan monsun ini bermakna angin barat daya yang sebelum ini bertiup dari negara jiran ke arah negara ini akan beransur-ansur berubah arah dan dengan itu keadaan jerebu akan beransur pulih,” katanya.
Setakat 8 pagi ini, menurut NADMA, 24 lokasi mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dan 44 lokasi IPU tahap sederhana.
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.–Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.