Dr Mahathir Mohamad berkata komuniti antarabangsa perlu
memberi perhatian terhadap fenomena perubahan iklim dan bencana alam
yang banyak dipengaruhi oleh aktiviti manusia daripada membuat
persediaan untuk berperang.
Dalam pernyataannya pada Perbahasan Umum Sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada Jumaat, Dr Mahathir berkata negara-negara juga harus membuat persediaan berdepan dengan gempa bumi besar, taufan dan ribut taufan, banjir dan kejadian tanah runtuh.
"Kita perlu belajar bagaimana untuk mengurangkan bencana alam ini. Kita perlu membina tempat perlindungan, membuat hujan buatan dan menghasilkan makanan tanpa cahaya matahari, berpindah dari tepi laut dan sebagainya," katanya.
"Sudah tentu semua bencana alam itu mungkin tidak berlaku, tetapi kita tidak boleh bergantung kepada itu. Kita membazirkan wang untuk mempersiapkan untuk berperang, mencipta lebih banyak pemusnah apabila semua boleh dilenyapkan oleh bencana alam ketika planet ini melalui kitaran seterusnya," katanya.
Beliau berkata manusia adalah mahkluk yang cerdik dan mampu bertahan dalam kitaran perubahan iklim seterusnya jika mereka mampu melahirkan penyelidik yang dapat menghasilkan sistem pertahanan terhadap bencana.
"Jika kita mengurangkan belanjawan kita untuk membunuh orang, kita akan mempunyai dana untuk penyelidikan dan persediaan," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.