Selasa, 3 September 2019

Anwar: Saya dah nasihat Azmin, mesti datang!


   

Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini memberi peringatan tegas buat timbalannya, Mohamed Azmin Ali yang sudah lama tidak hadir ke mesyuarat parti.

Katanya, nasihat telah diberikan kepada Azmin yang juga adalah menteri ekonomi supaya menghadirkan diri ke mesyuarat selepas ini.

“Saya tak tahu boikot (mesyuarat) atau tak, yang saya tahu (dia) tak datang.

“Dan saya dah nasihat, mesti datang!” katanya ketika bercakap kepada pemberita di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau disoal pemberita tentang berapa lama lagi Azmin akan dibiarkan untuk 'memboikot' mesyuarat parti sebelum tindakan disiplin diambil ke atasnya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucapan dalam Persidangan Antarabangsa tentang Sejarah dan Budaya (ICHCC-SEA) kali keenam di Kuala Lumpur.

Azmin adalah antara beberapa pemimpin PKR yang diketahui tidak hadir ke mesyuarat parti seperti majlis pimpinan pusat (MPP) dan mesyuarat biro politik, kerana pergeseran dalaman.

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berkata ketidakhadiran mereka disebabkan Anwar tidak melayan tiga pucuk surat yang dihantar kepadanya bagi mengadakan pertemuan ‘perdamaian’.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail semalam menolak permintaan Zuraida untuk mesyuarat ‘perdamaian’ itu, sebaliknya memintanya menghadiri mesyuarat parti.

Sebaliknya, kata Saifuddin, pimpinan PKR hanya perlu menghadiri seperti biasa untuk membincangkan isu berbangkit.

Pada 25 Ogos, Anwar Ibrahim berkata Azmin ‘tidak kebal’ daripada tindakan disiplin kerana tidak menghadiri MPP, bagaimanapun beliau menyerahkan kepada lembaga disiplin parti untuk menyiasat perkara itu.

Katanya, peraturan parti memang mensyaratkan jika seseorang tidak hadir mesyuarat sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa sebab, maka gugur jawatannya.

Namun kata Anwar, ada kala orang cuba beri sebab, jadi lembaga disiplin perlu menimbangkannya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.