KUALA LUMPUR – Ahli Perniagaan dalam buruan, Low Taek Jhow atau Jho Low didakwa sangat rapat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya.
Malah Jho Low dikatakan begitu akrab dan sangat mengenali selok belok rumah Najib sehingga begitu arif persekitaran kediamaan itu dan jutawan itu boleh meminta ‘milo ais’ daripada pembantu rumah.
Itu dakwaan saksi ke-9, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi ketika perbicaraan kes berprofil tinggi itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah yang masuk hari ke-11 hari ini.
Kata Shahrol ketika membaca penyataan saksinya sejurus mengambil sumpah petang tadi, Jho Low begitu mengenali pengawal keselamatan rumah Najib juga sekitar tahun 2009.
“Mereka (Jho Low, Najib) sangatlah rapat. Malah pemerhatian saya sendiri, Jho Low yang membawa saya ke rumah Najib. Dia terus bawa saya ke pengawal dan mereka saling lambai melambai.
“Jho Low juga tampak begitu biasa dengan persekitaran rumah Najib, malah kakitangan seperti pembantu rumah juga seolah-olah biasa dengan kehadirannya sehingga Jho Low boleh ‘order Milo ais’ dengan mereka,” katanya.
Sebelum kenyataan itu, peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bangkit mempersoalkan kenyataan saksi Shahrol yang dianggap hanya berdasarkan dengar cakap semata-mata.
Shafee menyoal tentang perenggan ke-48 keterangan Shahrol dalam kenyataan saksinya yang mendakwa Jho Low telah menulis surat bertarikh 26 April 2009 dari Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) kepada Najib.
Dakwa Shafee adalah tidak wajar untuk saksi berkata demikian apatah lagi Jho Low tidak ada dalam mahkamah untuk membela diri atau menafikan dakwaan tersebut.
Shahrol mempertahankan dakwaannya itu sebagai bukti keakraban hubungan Najib dengan Jho Low, namun hakim kemudian mengarahkan pasukan pendakwaan mengabaikan keterangan dalam perenggan tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram bangkit menyatakan pihaknya akan kemudian menyusun soalan dengan lebih baik berhubung kenyataan itu selepas ini. –MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.