Selasa, 20 Ogos 2019

Saham Utusan merosot susulan kemungkinan dinyah senarai

MALAYSIAKINI

   

Saham Utusan Melayu (Malaysia) mengalami penurunan berterusan sejak dibuka hari ini susulan makluman oleh syarikat itu kepada Bursa Malaysia semalam yang menyatakan kegagalannya untuk mengemukakan pelan regularisasinya sebagai penerbit Nota Amalan 17 (PN17).

Pada 10.40 pagi, saham syarikat merosot 31.81 peratus kepada 7.5 sen dengan 843,900 saham bertukar tangan.

Dalam maklumannya semalam, syarikat itu menyatakan bahawa selepas mengambil kira kerugian yang ditanggung dalam dua suku pertama 2019, serta kekangan aliran tunai, lembaga pengarah mendapati kumpulan itu tidak akan dapat memenuhi keperluan Bursa untuk meningkatkan status PN17.

Kumpulan juga tidak dapat mencari pelabur berpotensi untuk memulihkan kumpulan itu, terutama disebabkan oleh liabilitinya yang besar.

"Kami sedar Bursa Securities akan mengambil tindakan yang berkaitan, termasuk menggantung dagangan sekuriti tersenarai Utusan pada hari keenam pasaran selepas tarikh pemberitahuan penggantungan oleh Bursa Securities dan menyahsenaraikan syarikat itu," katanya.

Pada 30 Jun, 2019, kerugian terkumpul Utusan berjumlah RM261.61 juta.

Akhbar Melayu tertua itu disenaraikan di Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur pada 1994.

Utusan mengalami kerugian sejak 2012, dan pada Ogos tahun lepas, mencetuskan kriteria PN17 selepas gagal membayar pembayaran prinsipal dan keuntungan kepada Bank Muamalat Malaysia Bhd dan Maybank Islamic Bhd berjumlah RM1.18 juta.- Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.