MARANG: Pertemuan
pemimpin parti bukan kerajaan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir
Mohamad, satu amalan demokrasi yang sihat, kata Presiden PAS, Dato’ Seri
Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
“Perdana Menteri boleh jumpa dengan
parti pembangkang, bukan kerajaan. Itu demokrasi yang sihat, terbuka
untuk bertemu dengan NGO dan itu satu proses demokrasi yang disuburkan.
“Itu memang di negara-negara yang
mengamalkan demokrasi yang sungguhnya begitulah. Itu bukan perkara luar
biasa jumpa dengan pembangkang, dengan siapa sahaja, itu perkara biasa.
Cuma kepada mereka yang ada agenda-agenda lain yang menganggap itu di
luar dari kemahuan dia,” jelasnya.
Beliau berkata demikian di kediamannya selepas menyampaikan Kuliah Dhuha Pagi Jumaat di Masjid Rusila, hari ini.
Ketika ditanya siapa yang layak jadi
Perdana Menteri menggantikan Tun Mahathir, kata beliau, pertama,
terserah kepada Perdana Menteri sekarang atau kembali kepada rakyat yang
menentukannya.
“Adapun hendak meneruskan pemimpin
kerajaan itu bukan hak kita. Bahkan, banyak diplomat asing berjumpa
dengan saya, tanya saya siapa Perdana Menteri? Itu bukan hal saya, lagi
pun Perdana Menteri tahu siapa yang (layak) ganti selepas dia.
“Kedua, kalau hendak serah kepada
rakyat, rakyat yang akan menentukan siapa. Sampai diplomat asing pun
macam itu. Itu saya rasa satu benda yang tak sepatutnya ada campur
tangan yang macam itu.
“Kita mahu Perdana Menteri dapat
melaksanakan tugasnya dengan lebih terbuka, sikap yang baik, yang kita
alu-alukan. Kita ambil peluang ini, apatah lagi kita kena sedar bahawa
kerajaan pusatnya begitu, kerajaan negerinya begini.
“Sehingga hari ini, kerajaan negeri dari
pelbagai parti politik. Umno dua buah negeri, PAS dua buah negeri. Ada
negeri yang PKR pimpin, PAN jadi Menteri Besar, DAP jadi Ketua Menteri.
Apa salahnya kita jumpa dengan Perdana Menteri kerana kita berkonsepkan
federalisma,” ujarnya.
Menurut beliau, parti bukan kerajaan
juga berhak untuk bertemu dengan Perdana Menteri serta memberi pandangan
kepada kerajaan dan bukan hanya di parlimen. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.