Jumaat, 2 Ogos 2019

Penduduk cerita detik lif terhempas [METROTV]

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
 
 

“SAYA bersyukur kerana sempat memegang panel butang lif ketika ia sedang terhempas ke bawah,” kata Ahmad Shahid Imran, 24.

Dia satu-satunya mangsa yang tidak mengalami kecederaan dalam kejadian lif terhempas di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Kuala Lumpur, hari ini yang menyebabkan lapan orang cedera.

Menurutnya, ketika kejadian, penduduk baru pulang dari solat Jumaat dan menaiki lif untuk ke tingkat atas.

“Namun setibanya di tingkat lima, pintu lif terbuka dan secara tiba-tiba terhempas ke bawah.

“Ketika itu, keadaan kelam kabut kerana pintu lif tidak tertutup dan kami yang berada di dalam lif menjerit ketakutan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Ahmad Shahid berkata, selepas terhempas, dia melihat individu yang berada dalam lif bergelimpangan dan dibantu orang ramai.

“Ada yang tidak boleh bangun, termasuk seorang kanak-kanak dan orang kelainan upaya (OKU).
“Saya bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius. Selepas membantu semua mangsa, saya pulang ke rumah,” katanya.

Ahmad Shahid mendakwa, kejadian itu adalah insiden kedua berlaku di PPR berkenaan.
Katanya, kejadian pertama berlaku tahun lalu yang menyebabkan seorang cedera.

Dia juga mengakui trauma untuk menaiki lif dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.