RM6.8 juta disalur untuk sekolah, institusi pendidikan terjejas ribut
SUNGAI PETANI– Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih menunggu laporan penuh
daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes pelajar berusia 13
tahun, yang bertindak menggantung dirinya akibat tekanan kerana kerja
sekolah yang terlalu banyak.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik
berkata, kementerian juga akan menjalankan siasatan sendiri berhubung
kes berkenaan sebelum mengambil sebarang tindakan, termasuk mengubah
modul pembelajaran sekiranya perlu.
“Saya sedih dengan kejadian ini kerana
sepatutnya sekolah menjadi tempat yang gembira untuk pelajar menimba
ilmu selain memupuk kasih sayang. Tetapi bila sampai tahap dapat
tekanan, itu tidak sepatutnya berlaku.
“Jadi, buat masa ini masih terlalu awal
untuk buat apa-apa kerana kita masih sedang tunggu laporan siasatan
polis dan kementerian,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan
lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Merbok yang terjejas akibat ribut
Lekima baru-baru ini.
Pada malam Sabtu lepas, pelajar berkenaan
ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai bertindak menggantung
dirinya di dalam bilik air rumahnya di flat Jalan Paya Terubong, Taman
Sri Relau, Georgetown, Pulau Pinang.
Hasil siasatan mendapati remaja terbabit
dikatakan kurang berminat untuk belajar, selain prestasi pelajarannya
yang agak lemah termasuk sering merungut kepada ibu bapanya mengenai
kerja sekolah yang terlalu banyak.
Ketika diminta mengulas kenyataannya
dalam laman sosial Twitter mengenai kerajaan akan memastikan semua anak
yang hadir ke sekolah mulai 2020 dilengkapi dengan sarapan, Dr Maszlee
berkata, program itu akan dimulakan pada tahun hadapan.
“Program makanan percuma ini adalah untuk
semua pelajar dan konsepnya adalah kita mahu pastikan semua anak
mendapat makanan yang berkhasiat kerana kita mahu bina generasi yang
sihat, mendapat zat makanan cukup bagi mendapatkan otak yang cerdik.
“Program ini juga membolehkan pelajar
menguasai sivik di mana pelajar akan duduk makan dengan guru, belajar
adab makan yang betul termasuk lepas makan kena basuh peralatan sendiri,
di mana semua ini dapat melatih disiplin mereka dengan lebih baik,”
katanya.
Mengenai tindakan sebuah badan bukan
kerajaan (NGO) yang mahu menghalang anak mereka mendapatkan pendidikan
sebagai tanda protes terhadap pelajaran jawi di sekolah, Dr Maszlee
berkata, NGO serta masyarakat sepatutnya menggalakkan anak untuk pergi
ke sekolah dan bukan sebaliknya.
Sementara itu, dalam satu kenyataan hari
ini, Maszlee berkata, kementeriannya telah mengumumkan peruntukan
sebanyak RM24 juta untuk kerja-kerja pembaikan semua sekolah dan
institusi pendidikan di bawah kementerian yang terjejas akibat ribut itu
di beberapa buah negeri utara Semenanjung Malaysia, 9 Ogos lepas.
Katanya, sehingga kini sebanyak RM6.8 juta telah disalurkan dan kerja-kerja pembaikan yang berkaitan telah dimulakan.
“KPM sedang memantau kerja-kerja
pembaikan di semua sekolah dan institusi pendidikan terbabit selain
menjangkakan ia dapat diselesaikan dalam kadar segera mengikut tempoh
ditetapkan demi keselesaan dan kemudahan pelajar,” katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.