DAP bantah cadangan KPM perkenal seni kaligrafi dalam kurikulum
BANGI –
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diingatkan agar tidak tunduk
dengan desakan pihak tertentu atas nama kepentingan politik, berhubung
syor memperkenalkan penulisan khat dalam kurikulum Bahasa Melayu Tahun 4
di Sekolah Jenis Kebangsaan.
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia
(iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, tindakan segelintir pihak
yang membantah cadangan baik dari KPM, dilihat seolah-olah menggugat
kewibawaan bahasa Melayu dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
“Menggunakan sentimen politik tanpa
kewarasan akan menghalang usaha memupuk perpaduan dan intergrasi
nasional melalui wadah pendidikan,” katanya.
Terdahulu, 138 pemimpin akar umbi parti
tamak haloba DAP, termasuk 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menggesa
anggota Kabinet daripada parti itu membantah rancangan memperkenalkan
tulisan khat atau seni kaligrafi dalam kurikulum Tahun 4 Bahasa Malaysia
untuk sekolah vernakular.
Kumpulan itu mendakwa pengenalan tulisan khat merupakan usaha untuk melembagakan dan mempolitikkan tulisan Jawi.
Mengulas perkara itu, Ustaz Azizee
berkata, seni khat adalah seni keindahan tulisan seperti kaligrafi Cina
dan tulisan India atau mana-mana bahasa di dunia.
“Seni khat adalah seni penulisan jawi
yang sememangnya berkait rapat dengan keunikan bahasa Melayu. Di
peringkat sekolah kebangsaan lagi, murid-murid telah diperkenalkan
subjek Bahasa Cina dan mereka mempelajari kaligrafi Cina.
“Sementara di Sekolah Berasrama Penuh
(SBP) juga diperkenalkan subjek Bahasa Cina dan tiada halangan untuk
kaum lain mempelajari kaligrafi Cina sebagai satu seni keindahan
tulisan,” katanya.
Pada masa sama, katanya, langkah ini
bersesuaian dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan usaha memartabatkan
serta mengukuhkan Bahasa Melayu di sekolah-sekolah jenis kebangsaan
sebagaimana termaktub di dalam Dasar Bahasa Kebangsaan.
iGuru turut bersependapat dengan Kesatuan
Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) bahawa
pengajaran ini dapat meluaskan pengetahuan para murid mengenai
jenis-jenis tulisan kaligrafi yang ada di dunia ini seperti Barat
(western), Timur (oriental) dan Arab (arabic).
“Ia juga bertujuan untuk meningkatkan
kemahiran murid menulis tulisan cantik dengan pelbagai bentuk, di
samping menerapkan seni estetika dan aspek keseronokan dalam
pembelajaran,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.