Sabtu, 27 Julai 2019

Zahid dakwa dikunjungi orang Dr Mahathir

MALAYSIAKINI

   

Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa dirinya dikunjungi 'orang Dr Mahathir Mohamad.'

Sinar Harian memetik Zahid berkata dalam pertemuan dengan wakil Dr Mahathir itu, Umno meletakkan tiga syarat sekiranya mahu parti itu ikut menyertai gabungan yang diterajui pengerusi Bersatu itu.

“Saya didatangi orang Dr Mahathir baru-baru ini dan saya sebutkan tiga syarat ini sebagai pendirian parti jika mahu jalin kerjasama.

"Umno tidak akan sesekali tinggalkan PAS yang kini menjadi rakan politik parti dan jangan lagi minta orang Umno sertai Bersatu dan akhirnya mahu bubarkan Umno,” katanya.
 
Ahmad Zahid dilaporkan berucap pada majlis santai bersama barisan kepimpinan Umno Bahagian Alor Setar di Dewan RC hari ini.

Bakal besan lari tengok 'cempera'

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid juga berkata anggota Umno kurang menunjukkan sikap walak (taat), berbanding PAS yang memegang prinsip setia kepada pemimpin.

“Dalam PAS ada walak, dalam Umno kurang. Tanpa walak terhadap pemimpin, bila hendak berjaya ambil semula kerajaan?

"Kita akan adakan tahaluf siyasi bersama PAS, akan jadi besan Umno, kita tak mahu PAS lari kalau tengok kita ‘cempera’, sudah tentu PAS mencari ‘keluarga’ yang bersatu hati,” katanya.

Beliau juga menjelaskan sebab beliau kembali menerajui Umno pada 30 Jun lalu selepas bercuti pada Disember 2018 lalu.

“Saya tak cakap nak berhenti, saya hanya sebut beri kepercayaan kepada timbalan, Mohamad Hasan untuk galas tugas sebagai presiden.

"Hak saya untuk kembali sebab saya dipilih secara demokratik dalam pemilihan Umno,” tegasnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.