Annuar berkata, walaupun Hamid memaklumkan CyberSecurity Malaysia tidak dapat memastikan siapa pelaku dalam video seks tersebut, namun ia memadai dengan kenyataannya bahawa video itu tidak disunting.
“Video tulen tetapi muka tidak cam, perompak pula cepat kau cam. Berhentilah berlakon, rakyat tidak bodoh. Terima kasih KPN kerana mengesahkan video tulen.
“Cukup sekadar katakan video berkenaan tulen. Soal pengecaman, biar rakyat yang cam. Kita bimbang video itu tidak tulen, bimbang ada tekonologi terbaru digunakan.
“Tidak perlu KPN sahkan siapa dalam video itu, biar rakyat sahkan siapa dia,” katanya sewaktu berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilam Umno Bahagian Kota Raja, hari ini.
Terdahulu, Hamid mengumumkan kebarangkalian video seks sejenis menyasarkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali tulen adalah tinggi, menurut hasil analisis CyberSecurity Malaysia.
Hasil analisis sama bagaimanapun tidak dapat mengecam individu yang dikatakan mirip menteri itu.
Hamid juga mengumumkan hasil siasatan polis mendedahkan wujud “pakatan jahat yang didalangi seorang pemimpin parti politik”, bertujuan mengaib dan menjatuhkan reputasi individu tertentu.
Pada 12 Jun lalu, bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Aziz menggemparkan negara dengan pengakuan beliau terbabit dalam klip video seks sejenis di sebuah hotel di Sandakan, Sabah.
Haziq menamakan Azmin sebagai pasangannya dalam video itu. Azmin pula menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu yang disifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.
Dalam perkembangan lain, Annuar memaklumkan sudah mendapat arahan dari Presiden Umno Zahid Hamidi untuk bertemu dengan setiap pemimpin parti, termasuk Khairy Jamaluddin dan Nazri Aziz.
Ia selepas Nazri dan Khairy secara terbuka lantang mengkritik bekas perdana menteri Najib Razak yang dilantik sebagai pengerusi Penasihat Barisan Nasional (BN).
“Saya akan berjumpa dengan setiap seorang untuk ajak mereka dalam 1 saf, bagi membina Umno yang kuat. Presiden beri keizinan untuk temui setiap orang, supaya kita sediakan ruang cukup,” katanya.
Annuar berkata demikian selepas mengumumkan mesyuarat perpaduan ummah antara Umno-PAS selesai dan menunggu masa untuk memeterai perjanjian hitam putih kerjasama kedua-dua parti berkenaan.
“Ini bukan soal PAS berpakat dengan Umno, bukan hendak suruh Melayu di dalam Umno bersatu, taawun ini sebagai lambang kerjasama 2 parti paling lama dan tua di dalam negara,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.