Seperti dijangka, Khazanah sudah jual semua pegangan dalam satu dari dua projek di Singapura yang dirunding, dilancarkan dan dirasmi oleh saya masa saya PM.
Pegangan ini dijual kepada syarikat pelaburan Singapura.
Semasa mengumumkan penjualan dengan harga RM4.74 bilion ini semalam, Khazanah mengaku bahawa kejayaan projek DUO di Ophir-Rochor di Pusat Bandar Singapura (CBD) ini adalah jauh diluar jangkaan dan amat menguntungkan.
Oleh itu, perlulah dijual oleh kerajaan PH walaupun saya rasa ianya lebih baik jika masih dimiliki oleh kita dan kita mendapat pulangan dari sewa yang dikutip.
Bagaimanapun, Khazanah memilih untuk memegang semua kepentingan mereka dalam Hotel Andaz di projek yang sama itu.
Tapi semua ruang runcit, pejabat dan bangunan lain di projek itu yang kini memberi pulangan besar setiap bulan kepada Khazanah dah dijual.
Tak apa.
Banyak lagi aset-aset yang dibina oleh kerajaan BN masih boleh dijual oleh PH.
https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2019/07/590504/ms-jual-ruang-pejabat-runcit-duo-rm474-bilion
Saya pernah menulis tentang asal-usul projek ini dengan projek Marina One. Boleh baca di sini:
Saya lihat ramai masih tidak tahu kebenaran tentang isu tanah KTM di Tanjong Pagar, Singapura dan menuduh saya telah jual tanah tersebut.
Biar saya jelaskan sekali lagi.
Perjanjian asal untuk menghentikan stesen KTM di Tanjong Pagar dan menukar tanah 271 hektar KTM di Singapura bukan di persetujui oleh saya tetapi dirunding dan ditandatangan oleh Menteri Kewangan kita pada tahun 1990.
Di bawah perjanjian 1990 ini, Malaysia bersetuju untuk memindah stesen di Tanjong Pagar kepada stesen baru di Kranji.
Sebagai pampasan, Malaysia akan membangunankan tiga pakej tanah milik KTM di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands bersama dengan Singapura mengikut nisbah 60% untuk Malaysia dan 40% untuk Singapura.
Selepas kerajaan PM4 menandatangani perjanjian ini, kerajaan PM4 juga tidak mahu menghormati perjanjian ini dan meminta untuk 3 pakej tanah di Bukit Timah milik KTM juga di masukkan.
Singapura pun bersetuju untuk memasukkan tanah Bukit Timah dalam rancangan pembangunan bersama tetapi Malaysia tetap tidak mahu menghormati perjanjian ini kerana masih bersengketa dengan Singapura dalam pelbagai isu pada masa itu.
Oleh itu, perjanjian dan tanah-tanah KTM terbiar begitu sahaja selama 20 tahun tanpa memberi hasil satu sen kepada kita.
Tanah-tanah ini asalnya diberi kepada KTM pada tahun 1918 mengikut Akta Keretapi pada masa itu.
Ianya tanah pajakan 999 tahun dan syarat guna tanah dihadkan kepada kegunaan keretapi sahaja.
Ia TIDAK boleh dibangunkan atau digunakan untuk projek-projek lain.
Kebanyakan tanah itu juga terlalu sempit untuk projek pembangunan kerana laluan landasan keretapi memang tidak luas.
Jika Singapura tidak bersetuju menukar syarat kegunaan tanah, tanah KTM itu akan terus dibiarkan begitu sahaja.
Tunggu lagi 999 tahun pun tidak akan memberi satu sen faedah kepada sesiapa.
Malah kita perlu membayar cukai tanah tahunan kepada Singapura.
Pada tahun 2010, saya pun berunding dengan kerajaan Singapura dan mencapai persetujuan baru di mana mereka akan memberi 4 pakej tanah di Marina Bay (dekat dengan Marina Bay Sands) dan 2 pakej di Ophir-Rochor sebagai tukaran kepada satu pakej tanah di Tanjung Pagar, satu pakej di Kranji, satu pakej di Woodlands dan 3 pakej di Bukit Timah.
Iaitu, 6 pakej tanah bertukar dengan 6 pakej tanah.
Sesiapa yang mengenali Singapura tahu bahawa tanah di Marina Bay ialah yang paling berharga manakala kawasan Ophir-Rochor ialah pusat perniagaan (CBD) baru Singapura.
Jauh lebih berharga berbanding tanah-tanah di Bukit Timah, Kranji atau Bukit Timah.
Pada masa itu, Singapura juga mahu Malaysia membayar S$1.47 bilion (RM4.5 bilion) sebagai caj pembangunan kerana tanah-tanah yang mereka bayar sebagai pampasan adalah sangat berharga.
Saya tidak setuju dan mengarah perkara ini dilawan di mahkamah dunia di The Hague, Belanda.
Pada tahun 2014, kita menang dan Singapura kehilangan RM4.5 bilion kepada kita.
Baca link ini: https://mothership.sg/2014/11/spore-watched-1-47-billion-in-revenue-evaporate-before-her-very-eyes/
Saya rasa ini kali pertama Malaysia menang kes besar dengan Singapura dan pada masa itu ramai rakyat Singapura sangat marah tetapi itu hak mereka nak marah asalkan negara kita berjaya untuk dapat manfaat bernilai RM4.5 bilion.
Selepas itu, tanah-tanah yang kita dapat telah dibangunkan oleh syarikat perkongsian bersama antara negara Malaysia dan Singapura bernama M-S Pte Ltd di mana pemilikan 60% kita diletak di bawah Khazanah Nasional.
Projek di Marina Bay dinamakan Marina One dan bernilai S$7 bilion (RM21.3 bilion) manakala projek di Ophir-Rochor diberi nama DUO Residences bernilai S$4 bilion (RM12.2 bilion).
Kedua-dua projek ini telah berjaya disiapkan pada awal tahun 2018 dan kini amat berjaya, memberi pulangan besar kepada negara. https://www.todayonline.com/singapore/pm-lee-najib-open-marina-one-and-duo-integrated-developments
Projek di Marina One sebesar 3.67 juta kaki persegi melingkupi dua menara 34 tingkat kediaman mewah, dua bangunan 30 tingkat pejabat gred A dan pusat membeli-belah “The Heart”.
Banyak syarikat terkenal seperti FaceBook, PWC, Grab, bank komersil dan sebagainya telah berpindah ke Marina One dan telah mula membayar sewa kepada syarikat milik Khazanah – pulangan berterusan jangka panjang untuk kita.
Pada masa ini, kedua-dua pembangunan yang bernilai RM33.5 bilion ini masih dipegang oleh kerajaan Malaysia tetapi besar kemungkinan ianya akan dijual oleh PH juga tidak lama lagi.
https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/08/23/khazanah-akan-jual-pegangan-dalam-2-firma-hartanah-kepada-temasek/
Sekali lagi, saya yang cuba menyelesaikan masalah legasi untuk kebaikan negara tetapi difitnah oleh PH pula bahawa saya telah derhaka kepada negara pula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.