Bacaan gas di 72 buah kilang sekitar Pasir Gudang masih terkawal
KUALA LUMPUR
– Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
berkata, tiada keperluan bagi sekolah di Pasir Gudang ditutup buat masa
ini, susulan gangguan kesihatan yang membelenggu warga sekolah di
kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata ia
bergantung kepada situasi semasa berdasarkan maklumat oleh Jabatan Alam
Sekitar (JAS) yang memantau kualiti udara di kawasan berkenaan.
Sehingga ini, JAS telah membuat
pemeriksaan ke atas 72 buah kilang di kawasan sekitar dan mendapati
bacaan gas di kilang terbabit masih terkawal secara keseluruhannya.
“Saya ingat sekarang ini tidak ada sebab
untuk tutup sekolah… kaedah elimination punca-punca yang berpotensi
menyebabkan pencemaran sedang diteruskan oleh JAS bagi mengenalpasti
punca utama (gangguan kesihatan),” katanya kepada pemberita di lobi
Parlimen, hari ini.
Sesi persekolahan di semua 111 sekolah
rendah dan menengah di Pasir Gudang yang ditutup sejak Selasa lepas
akibat gangguan pernafasan dan muntah-muntah dalam kalangan pelajar baru
dibuka semula semalam.
Namun, 30 pelajar dan guru daripada 15
buah sekolah di Pasir Gudang dirujuk ke klinik kesihatan berikutan
mengalami simptom muntah dan pening-pening selepas hadir sesi
persekolahan semalam.
Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata,
pemantauan akan dilakukan setiap masa termasuk penggunaan alat pengesan
bahan kimia serta sebuah stesen mobil bagi merekod kualiti udara.
Dalam pada itu, Menteri Pendidikan, Dr
Maszlee Malik berkata, kementerian itu melalui Jabatan Pendidikan Negeri
mengikuti perkembangan yang berlaku di kawasan terbabit secara dekat
dan sebarang keputusan untuk menutup sekolah akan dibuat bersama dengan
semua agensi terbabit termasuk kerajaan negeri. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.