Perdana menteri dalam ucapannya berharap, kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 akan berjaya mencapai sasaran untuk menarik kehadiran 30 juta pelancong serta mencapai RM100 bilion perbelajaan pelancong.
Katanya, untuk mencapai sasaran berkenaan, kerajaan perlu menjangkau sasaran lebih tinggi untuk mempromosikan Malaysia di negara lain, termasuk Asean, China, India, United Kingdom (UK) dan Jerman.
“Kejayaan Melawat Malaysia 2020 juga bergantung kepada promosi yang berkesan. Selain itu, sektor pelancongan juga perlu bergerak seiring dengan transformasi digital yang menekankan pemasaran digital.
“Kerajaan akan terus menyokong usaha membangunkan industri pelancongan dan meningkatkan kedudukan di peringkat antarabangsa.
“Tahun lalu, Malaysia berada di kedudukan 21 antara negara yang mempunyai pendapatan pelancongan yang tinggi, dengan memperoleh RM84.1 bilion seperti diumumkan Organisasi Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) yang disiarkan dalam Laporan Barometer pada Mei lalu,” katanya.
Pada majlis itu, Mahathir turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) promosi antara Tourism Malaysia dengan Malaysia Airlines, AirAsia, Firefly, Malindo Air, Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan Sharp (M) Electronic Sdn. Bhd.
Logo kali ini merupakan usaha pemasaran dan promosi kempen dengan menampilkan ikon Malaysia yang cukup dikenali seperti burung kenyalang, bunga raya, paku pakis liar dan warna-warna bendera Malaysia.
Ia menggambarkan kepelbagaian yang terdapat dalam budaya, warisan, flora dan fauna serta pengalaman yang ditawarkan oleh Malaysia sebagai sebuah destinasi percutian.
Logo ciptaan pereka grafik, Alfred Phua Hong Fook itu berjaya mengetepikan beratus-ratus logo yang diterima dari seluruh negara sepanjang tempoh pertandingan yang berlangsung pada awal tahun ini.
Perdana Menteri kemudian bergerak ke Kompleks Bunga Raya KLIA untuk melancarkan “livery” khas logo Melawat Malaysia 2020 di badan pesawat keempat-empat syarikat penerbangan melibatkan Malaysia Airlines, AirAsia, Firefly, Malindo Air.
Dalam pada itu dalam sidang media yang diadakan selepas itu dan ketika ditanya tentang kelewatan pelancaran logo tersebut, Mahathir berkata ia perkara biasa setelah mengakui bahawa logo berkenaan sepatutnya dilakukan pada Mei.
“Benda yang macam ini berlaku selalu, kita boleh rancang Tuhan menentukan.
“Kalau nasib tak baik, lambat sikit,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.