Jumaat, 5 Julai 2019

Pakar fizik UiTM akan dipanggil bantu inkues Adib

THE MALAYSIAN TIMES
 


SHAH ALAM: Mahkamah Koroner di sini memutuskan untuk memanggil seorang pakar fizik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk membantu prosiding inkues Muhammad Adib Mohd Kassim berhubung pengiraan daya hentaman.

Koroner Rofiah Mohamad berkata pakar berkenaan, Amir Radzi Ab Ghani yang merupakan pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal di universiti berkenaan, dijadual memberi keterangan sebagai saksi ke-30 pada 16 dan 17 Julai ini.

“Pastikan saksi dimaklumkan dan bersetuju untuk membantu mahkamah dari segi persoalan dalam prosiding inkues yang diperlukan pada 16 Julai nanti,” katanya dalam prosiding inkues yang masuk hari ke-40 hari ini.

Keperluan untuk memanggil pakar fizik bagi memberi keterangan dalam prosiding berkenaan wujud selepas terdapat perbezaan daripada dua pakar yang memberi keterangan dalam prosiding inkues iaitu formula dikemukan Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi (saksi ke-24) dan Perunding Kanan Patalogi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd. Wahid ( saksi ke-29) berhubung pengiraan daya hentaman.

Sementara itu, keputusan atas cadangan Pegawai Pengendali inkues, Faten Hadni Khairuddin supaya seorang lagi pakar patologi dipanggil dalam prosiding inkues berkenaan, Rofiah berkata keputusan itu akan diputuskan selepas mahkamah mendengar keterangan Amir Radzi.

“Berhubung untuk memanggil pakar patologi lain seperti dicadangkan pegawai pengendali, ia masih dipertimbang dan perlu selesaikan dahulu keterangan daripada pakar fizik nanti,” katanya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di Institut Jantung Negara.—Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.