Selasa, 23 Julai 2019

Norman masuk Bersatu bukan kerana projek


   

Penyanyi, penggubah lagu dan usahawan, Norman Abdul Halim, menafikan penyertaanya menjadi ahli Bersatu bertujuan memudahkan laluannya untuk mendapat projek seliaan kerajaan.

Bercakap kepada Malaysiakini, Norman menjelaskan, dakwaan segelintir pihak bahawa perjanjian persefahaman (MOU) dimeterai Kumpulan Syarikat KRU bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM), baru-baru ini ada kaitan dengan penyertaannya dalam Bersatu sebagai tidak berasas.

Menjelaskan situasi dihadapinya, dia yang turut dikenali sebagai Norman KRU berkata, apa yang perlu adalah jiwa besar bagi menghadapi tohmahan pihak yang tidak memahami.

"Dan tak boleh nak layan isu macam ini,” katanya berseloroh ketika dihubungi.

Sambil memberi contoh, Norman berkata, sebenarnya kerjasama KRU dan UiTM bukan suatu perkara baru.

Katanya sejak bertahun-tahun lalu, KRU Entertainment menjalinkan kerjasama dengan UiTM untuk program latihan industri (internship).

"Cuma yang baru dimeterai bersama institusi pengajian itu adalah MOU dengan Yayasan KRU.

"Majlis itu telah disusun berminggu-minggu sebelum saya masuk Bersatu," katanya.

Dilantik menteri pendidikan
 
Menurut Norman dia tidak mendapat sebarang projek besar seperti didakwa sesetengah pihak.

Sebaliknya kata Norman dia perlu mencari dana besar bagi membolehkan program Yayasan KRU membantu anak muda dapat dijayakan.

Pada 17 Julai lalu, sebuah MOU disempurnakan di antara Fakulti Filem, Teater dan Animasi UiTM Cawangan Puncak Perdana bersama Yayasan KRU, Smart Digital International Sdn Bhd dan Girls Republique Sdn Bhd.

Dengan usahasama itu, UiTM bakal menjadi peneraju utama yang menyediakan lebih 100 jenis kandungan versatil berbayar menerusi saluran Sirius TV. Ia dijangka dilancarkan September ini.
Mengulas lanjut, kata Presiden Yayasan KRU itu, kolaborasi berkenaan bukan bertujuan mengaut keuntungan peribadi sebaliknya lebih kepada memberi peluang pekerjaan pada graduan dari jurusan industri kreatif.

“Tak ada kepentingan peribadi. Kami juga tak ada pun nak buat kandungan televisyen dengan pelajar.

“Tapi dalam politik, payah nak bersangka baik, orang lebih berminat buat spekulasi dan terlebih fikir konspirasi,” katanya.
Menurut Norman, 47, kerjasama KRU dengan UiTM hanya sebagai permulaan. Selepas ini, katanya, lebih banyak MOU akan ditandatangani dengan universiti lain.

“UiTM didahulukan kerana kebetulan pula saya dilantik Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk program CEO at University di UiTM sebelum saya masuk Bersatu,” katanya.

Norman menyerahkan borang keahlian seumur hidup untuk menjadi anggota Bersatu pada 9 Julai lalu. Dia memaklumkan menerima nombor keahlian sehari kemudian.




Sebagai rekod, Norman yang sebelum ini pernah bersama Umno mengaku sudah tidak aktif sebagai anggota parti itu sejak 2015.

Pengarah Urusan KRU Studios itu berkata, hala tuju ingin dicapai sebagai ahli parti baru adalah untuk memberi sumbangan semampunya dari segi bidang keusahawanan dan pendidikan.

“Kami mahu perkasakan ekonomi golongan muda dan pastikan mereka tak ketinggalan dek arus perdana perkembangan teknologi dan peluang digital dan sebagainya.

“Bersatu merupakan bumiputera progresif. Saya juga sebagai bumiputera progesif ingin maju bukan ke belakang,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.