Jumaat, 26 Julai 2019

Lagi tuduhan dihala ke koperasi berkaitan MIC


   

Selepas tanah 77 ekar milik Koperasi Pekerja Jaya (KPJ) dikaveat, koperasi tersebut sekali lagi didakwa menipu pekerja ladang apabila janji untuk membina rumah tidak ditunaikan.

Juruteknik elektrik, M Subranamaniam, 64, memberitahu tanah milik lebih 47 keluarga bekas pekerja Ladang Rini di Skudai, sedang dibina rumah dua tingkat oleh KPJ.

"Pada 1978 tanah seluas enam ekar dijual pemilik Ladang Rini kepada 47 keluarga pekerja ladang tersebut pada harga RM32,000.

"Namun, tanah itu ditukar milik kepada KPJ dengan syarat kawasan itu dibangunkan dengan rumah berkembar dalam tempoh dua setengah tahun," katanya kepada Malaysakini.

Subranamaniam juga mendakwa janji tersebut dibuat S Samy Vellu yang ketika itu menjadi pengerusi KPJ.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Sugu berkata, sejak itu KPJ memberi pelbagai alasan apabila ditanya mengenai kelewatan pembinaan rumah di tanah mereka.

"Tiga tahun yang lalu pula, kami mendapati KPJ memulakan projek perumahan dua tingkat tanpa berbincang terlebih dulu dengan kami.

"Harganya pula RM500,000 unit dan ia di luar kemampuan kami," katanya.
Tambah Subranamaniam, selepas mengadakan beberapa pertemuan dengan KPJ termasuk Samy Vellu, akhirnya koperasi berkenaan berjanji untuk memberi pampasan.

"Namun, kami terkejut dengan tawaran KPJ apabila mereka menjanjikan hanya RM35,000 untuk satu keluarga," jelasnya sambil menambah mereka menolak tawaran tersebut.

"Ini tanah kami, kami beli. Tetapi selepas 41 tahun kami diberi hanya RM35,000 satu keluarga. Adilkah?" tanya Sugu.

Beliau turut mengesahkan pihaknya dalam usaha membawa isu berkenaan ke perhatian sultan Johor.
"Kami masih sedia berbincang dengan KPJ. Tapi, mereka perlu adil kepada kami sebab ini tanah kami," tambahnya lagi.

Untuk rekod, di Sungai Siput tanah seluas 77 ekar milik KPJ sudah dikaveat selepas didakwa tidak digunakan untuk tujuan asalnya.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi KPJ bagi mendapatkan ulasan.

KPJ merupakan koperasi yang diasaskan Samy Vellu yang juga bekas presiden MIC. Beliau mengetuai koperasi tersebut selama 41 tahun.

Pada tahun ini, Timbalan Presiden MIC, M Saravanan menggantikan Samy Vellu sebagai pengerusi KPJ.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.