PAS syor tubuh suruhanjaya siasatan bebas tangani pencemaran
BANGI– PAS menyarankan kerajaan supaya menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas
bagi menjalankan forensik ke atas kedudukan semua pembangunan, terutama
operasi kilang kimia di Pasir Gudang, Johor.
Ketua Pemuda PAS, Ir Khairil Nizam
Khirudin berkata, pencemaran udara akibat bahan yang berulang buat kali
ketiga di daerah berkenaan menuntut tindakan bersepadu, tegas dan segera
daripada kerajaan Pusat serta negeri untuk menanganinya.
Beliau berkata, pembabitan kepakaran luar
juga diperlukan dalam rangka kerjasama bagi menamatkan tragedi yang
berlaku di Pasir Gudang ketika ini.
“Pada ketika ini, kerajaan mesti
mengeluarkan serta-merta perintah menghentikan operasi sementara kepada
semua kilang terbabit sehingga langkah keselamatan lebih terjamin
disiapkan.
“Kelemahan bertindak hanya menimbulkan
rasa curiga dan syak bahawa pihak berkepentingan sedang dilindungi.
Malangnya, penduduk menjadi mangsa hingga terdedah kepada ancaman
nyawa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, 39 murid dan pelajar daripada
lima sekolah di sekitar Pasir Gudang mengalami simptom muntah dan sesak
nafas, beberapa minggu selepas kerajaan memberi jaminan kualiti udara di
daerah berkenaan selamat.
Kes terbaharu itu membabitkan Sekolah
Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort (30 murid), SK Kopok (6 murid), SK
Kota Masa (1 murid), SK Pasir Gudang 4 (1 murid) dan Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort (1 pelajar).
Kesal dengan insiden berulang, Ir Khairil
berkata, aspek pengurusan risiko, penguatkuasaan kebertanggungjawaban
dan solusi dilihat menjadi janji yang dimungkiri pihak kerajaan.
“Malah, seluruh malapetaka berulang di
peringkat ini cukup untuk kerajaan diberi markah gagal. Melihat tamak
halobanya kapitalis yang bersekongkol orang politik dalam meraih
keuntungan sebagaimana berlaku di semua celahan dunia, kami sangat
tertanya-tanya.
“Apakah semua polemik ini sengaja dibiarkan sebagai ganti peperangan untuk membunuh dan mengusir penduduk?,” soalnya.
Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya
telah menghantar surat rasmi kepada Yeo Bee Yin selaku Menteri Tenaga,
Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pada Rabu lalu untuk
mengadakan pertemuan bagi mengemukakan cadangan penyelesaian.
“Ini membuktikan kesediaan kami bekerjasama dengan pihak Menteri bagi memastikan mangsa gelojoh kapitalis ini dapat dibela.
“Sehubungan itu kami juga menyokong penuh
tindakan mangsa, penduduk dan banyak NGO membuat laporan polis ke atas
pihak-pihak berkaitan agar dalangnya dapat diadili. Pengajaran atau
hukuman berat mestilah dilaksanakan jika motif kami sebutkan itu wujud
di sebalik semua masalah ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.