Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Sepanggar hari ini, Ismail akui dia ada menerima panggilan telefon daripada mereka yang meninggalkan Umno untuk menyertai parti-parti lain dan kini ingin kembali.
“Di Sabah, seorang sudah berbuat demikian (bekas ketua Umno Papar, Rahim Ismail). Kami setuju untuk menerima mana-mana orang yang mahu pulang ke Umno, tetapi parti ini ada peraturan tersendiri.
“Mereka yang pergi dan ingin kembali perlu mohon jadi ahli Umno. Walaupun pernah memegang jawatan tinggi di peringkat bahagian atau cawangan, mereka tidak akan diberi layanan istimewa.
“Umno bukan hotel yang kamu boleh masuk dan keluar bila-bila masa. Mereka perlu patuhi peraturan parti. Kita tak tutup pintu pada mana-mana orang. Umno terbuka untuk semua orang Melayu dan Bumiputera. Sesiapa sahaja boleh sertai kami.”
Ismail mendedahkan beberapa wakil rakyat yang meninggalkan partinya sedang mempertimbangkan untuk kembali.
Beliau berkata partinya akan sentiasa menerima mereka dengan tangan terbuka.
“Mereka menunjukkan minat untuk pulang. Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk saya umumkan nama-nama itu.”
Mengenai masa depan Umno Sabah, Ismail sukacita melihat parti itu masih kuat selepas penghijrahan keluar semua kecuali seorang ketua bahagian. Di beberapa bahagian, sayap Pemuda dan Wanita keluar.
Ismail berkata Umno Sabah berjaya mengadakan mesyuarat peringkat bahagian dan para perwakilan menjalankan tugas seolah-olah tiada orang meninggalkan parti itu.
“Ini bermakna pemergian bekas-bekas ketua itu tidak beri kesan besar pada parti dan pimpinan peringkat bahagian.
“Ramai orang-orang yang mengisi kekosongan yang ditinggalkan orang-orang itu pernah menjadi ketua-ketua cawangan dan ketua-ketua sayap.”
Beliau menambah kebaikan daripada peristiwa tersebut ialah ramai bekas-bekas ketua yang meninggalkan Umno itu sudah terlalu lama memegang jawatan-jawatan bahagian.
Sementara itu, Ismail mengumumkan Umno Sabah akan diberi autonomi penuh untuk menjalankan parti itu di peringkat negeri.
Beliau berkata pimpinan pusat akan mengadakan perbincangan dengan ahli-ahli majlis tertinggi Sabah kerana hanya pimpinan Sabah yang tahu apa yang negeri itu perlukan.
“Perlembagaan parti perlu dipinda untuk melaksanakannya. Kami sedia berbincang mengenai apa yang perlu dimasukkan dalam pindaan perlembagaan untuk memberikan autonomi kepada Umno Sabah.
“Pindaan ini akan dibentangkan di mesyuarat agung tahunan Umno pada November,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.