MASALAH gangguan air di
Selangor makin kerap dan makin meruncing. Sebagai sebuah negeri termaju
di Malaysia dengan kepadatan penduduk yang tinggi, Kerajaan Negeri
Selangor pimpinan Pakatan Harapan seharusnya lebih prihatin berkenaan
impak masalah air kepada rakyat Negeri Selangor.
PAS Selangor melahirkan kerisauan
kemungkinan masalah air ini akan berlarutan dan makin meruncing. Sama
ada ianya atas faktor pencemaran atau penambahbaikan. Dengan peningkatan
kepadatan penduduk melangkaui 7 juta orang, kepenggunaan air akan terus
meningkat dan sebarang gangguan bekalan air akan mengakibatkan krisis
kemanusiaan yang amat dahsyat.
Anak-anak tidak dapat membersihkan diri,
sekolah-sekolah terganggu dengan tandas yang kekeringan air, operasi
kilang-kilang terganggu yang menyebabkan kerugian dengan nilaian yang
besar. Ini antara implikasi gangguan bekalan air yang kerap.
PAS Selangor melahirkan rasa kesal bukan
sahaja di atas kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan bertindak balas
segera terhadap gangguan ini, tetapi juga kegagalan Pakatan Harapan
untuk menyediakan pelan mitigasi untuk menampung keperluan air bagi
rakyat Selangor.
Rakyat Negeri Selangor merana akibat
gangguan bekalan air minggu ini dan makin risau sekiranya
gangguan-gangguan ini akan berlarutan menjadi krisis kemanusiaan.
Bagi menghadapi situasi ini, PAS
Selangor mencadangkan agar satu paradigma (dicadangkan fasa perubahan
drastik) pengurusan air sertamerta dan perancangan holistik jangka
panjang perlu dirangka dan dilaksanakan segera. Pendekatan dan strategi
yang lebih lasak - menangani perubahan cuaca dan demografi perlu
diperkenalkan. Pemantauan berterusan dan penguatkuasaan efektif selari
dengan teknologi air yang lebih lestari perlu dibangunkan dan
digunapakai.
Selain itu, PAS Selangor juga
menyarankan agar Kerajaan memandang serius pengurusan sumber air seperti
memulihkan sungai-sungai tercemar dan pengurusan kawasan tadahan air
dengan menghasilkan polisi multi-agensi dan multi-level. Pembangunan
pengurusan air di Negeri Selangor seharusnya selaras dengan pembangunan
ekonomi dan demografi negeri ini bagi mengelakkan krisis kemanusiaan di
masa hadapan.
Pokoknya, PAS Selangor merasakan bahawa gangguan bekalan air minggu ini bukan sekadar isu mingguan, tetapi "symptom" bagi kemungkinan permasalahan yang lebih besar. Gangguan bekalan air yang kerap ini hanyalah "tip of the iceberg".– HARAKAHDAILY
Islam Memimpin Perpaduan
YB DATO' DR AHMAD YUNUS HAIRI
Pesuruhjaya PAS Selangor
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.