Ahad, 28 Julai 2019

Ahmad Nawab: Malaysia Truly Asia jadi mangsa politik


   

WAWANCARA | Menjadi satu kebanggaan dan kepuasan buat komposer terkemuka, Ahmad Nawab, apabila dirinya dipilih untuk menyumbangkan karya sempena kempen mengalakkan pelancongan datang ke negara ini pada 1992.

Hasil kreativiti beliau, maka lahirlah lagu yang diulang-ulang sepanjang masa kempen berkenaan, iaitu Malaysia Truly Asia.

Tidak cukup dengan itu lagu berkenaan dirakam dalam 17 bahasa berbeza bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi percutian terunggul.

Kata Ahmad, detik itu boleh dianggap antara pencapaian tertinggi beliau dalam kerjaya sebagai anak seni.

Namun, kebanggaan itu, menurutnya, tidak bertahan lama apabila kini lagu itu tidak lagi berkumandang di radio atau televisyen.

“Yang hanya bersisa didengari sekarang cuma bahagian ekornya: Malaysia Truly Asia.... saja," katanya.

Kenyataan itu dibuat kepada Malaysiakini ketika negara berada di ambang satu lagi kitaran kempen tahun melawat Malaysia.

Hati jadi tawar

"Saya kecewa, tak patut buat begitu. Itu lagu anak Melayu pertama dirakam di luar negara.

“Semasa merakamkan lagu tersebut, orang luar berkata mereka tak pernah pergi Malaysia, tapi sebaik dengar saja lagu ni, mereka diibarat sudah sampai ke sini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Gombak baru-baru ini.

Untuk rekod, lagu Malaysia Truly Asia - yang dinyanyikan Khatijah Ibrahim - dirakam antaranya dalam bahasa Korea, Jepun, Rusia, Itali, Arab, Turki, Perancis, Jerman, China dan Sepanyol.

Menambah kecewa, Ahmad - atau nama penuhnya Ahmad Khan Nawab Khan - mendakwa lagu Malaysia Truly Asia disisihkan akibat dipolitikkan pihak tertentu.
Seniman negara yang kini berusia 87 tahun itu berkata, faktor sedemikian juga membuatkan hatinya kian tawar untuk menggubah lagu.

“Sekarang saya kurang menggubah lagu. Faktor ini timbul mengikut keadaan perkembangan muzik tempatan. Antaranya disebabkan senario dunia seni tanah air bercampur politik.

“Yang saya nampak, sesuatu lagu akan masuk tong sampah apabila kerajaan bertukar pentadbiran. Sebenarnya ada lagu tak ada kena-mengena dengan politik sebab ia dihasilkan untuk rakyat.

“Sayang terbuang begitu saja, lainlah kalau lagu tu tak dapat sambutan,” katanya.

Bagaimanapun, anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata, beliau tidak berminat untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang ‘merosakkan’ karya ciptaannya itu.

Mengenangkan seniman sehebat Allahyarham P Ramlee pun boleh dilupakan sesetengah orang, ada sebab untuk Ahmad merisaukan nasibnya pada masa kini dan akan datang.

“Sedangkan, P Ramlee pun orang tak ingat, tak peduli, macam mana saya nak cerita pasal diri saya?” katanya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.