Kerajaan PH terpaksa jimat cermat sebab tanggung hutang banyak
BANGI– Sebahagian besar daripada ‘najis’ ditinggalkan Barisan Nasional
mungkin dapat diatasi dua atau tiga tahun lagi dengan pengurusan ekonomi
dan kewangan yang lebih telus serta berhemah, kata Datuk A Kadir Jasin.
Penasihat Media dan Komunikasi di Pejabat
Perdana Menteri itu berkata, walaupun amalan biasa bagi kerajaan
berhutang, tetapi hutang menggunung yang ditinggalkan BN adalah berpunca
daripada tadbir urus ekonomi dan kewangan yang tidak telus, rasuah,
boros serta membazir.
Katanya, sebahagian hutang kerana Datuk
Seri Najib Razak bukan sahaja menjadi perdana menteri tetapi turut
memegang jawatan menteri kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat
1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Akibat daripada hutang dan tanggungan
yang terlalu banyak, Kadir yang mendapat Tokoh Wartawan Negara pada 2011
berkata, kerajaan terpaksa berjimat-cermat sehingga menjejaskan
peruntukan kepada rakyat.
“Kerajaan kita pun daripada awal lagi
berhutang. Mungkin banyak orang tidak tahu tetapi boleh kata kebanyakan
waktu hasil kerajaan kutip kurang daripada jumlah yang kerajaan kena
belanja. Sebab itu, sebelum dan selepas PH ambil alih kerajaan, kita
amat mengambil berat isu hutang, khususnya hutang Kerajaan Pusat.
“Kita kata kerajaan BN boros, amalkan
rasuah dan terlalu banyak berhutang. Jadi apabila PH menang, salah satu
langkah terawal kita adalah menyiasat kedudukan hutang.
“Tapi apabila kita umumkan yang
tanggungan hutang Kerajaan Persekutuan bukan RM600 bilion atau RM700
bilion macam kerajaan BN dakwa tetapi sebaliknya lebih RM1 trilion,
banyak orang terkejut dan tidak percaya. Malah ada yang tuduh kita
bohong,” katanya.
Kadir berkata, maklumat terbaru diberi
Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet yang dipengerusikan Ahli Parlimen Jeli,
Datuk Seri Mustapa Mohamed mendapati sehingga 31 Disember 2018, hutang
kerajaan berjumlah RM741 bilion dan jaminan RM266.5 bilion menjadikan
tanggungan hutang sebanyak RM1,090.8 trilion.
“Daripada jumlah itu, hutang 1MDB saja
sebanyak RM32.2 bilion, sedangkan nilai hartanya hanya RM10 bilion.
Sekali lagi terbuktilah bahawa 1MDB ini skim cepat kaya kerajaan BN yang
sangat membebankan negara dan rakyat jelata.
“SRC International yang sedang menjadi
bahan perbicaraan rasuah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
itu pun asalnya milik 1MDB juga,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.