Kerajaan negeri komited memelihara kepentingan Bumiputera: MB
ISKANDAR PUTERI– Keluasan tanah rizab Melayu di negeri ini bertambah kepada 557,518
hektar sehingga April lepas berbanding 557,287 hektar pada Disember
tahun lepas.
Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin
Jamal berkata, Kulai adalah daerah yang merekod keluasan tanah rizab
Melayu tertinggi iaitu 75.64 hektar, diikuti Kota Tinggi seluas 49.354
hektar manakala Pengerang seluas 34.54 hektar.
“Dalam rekod yang ada pada saya, sehingga
April 2019 pertambahan jumlah keluasan tanah rizab Melayu sejak Pakatan
Harapan (PH) meneraju kepimpinan Johor adalah sebanyak 230.24 hektar,”
katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Muhamad
Said Jonit (PH-Mahkota) yang ingin tahu jumlah tanah rizab Melayu sejak
kerajaan PH mengambil alih kepimpinan negeri.
Dr Sahruddin menegaskan kerajaan negeri amat komited dalam soal memelihara kepentingan Bumiputera.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan
terus berusaha memastikan tanah rizab Melayu terpelihara kerana perkara
berkenaan amat penting dalam menjaga hak orang Melayu, sebagaimana
termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya dalam bidang
hartanah dan perumahan.
“Walaupun negeri Johor adalah pilihan
pelabur dalam dan luar negara ke negeri ini tetapi kerajaan negeri sedar
akan kepentingan untuk memelihara dan memastikan rizab Melayu ini terus
menjadi keutamaan kerajaan negeri,” katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.