Sabtu, 1 Jun 2019

Sultan Johor tegur MP Johor Bahru berbuka di gurdwara Sikh

MALAYSIAKINI

   
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menegur perbuatan Anggota Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir kerana menghadiri majlis berbuka puasa di gurdwara Sikh) di negeri itu pada Selasa lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Sultan Ibrahim bertitah tindakan itu tidak menjaga sensitiviti umat Islam yang sedang menjalankan ibadah puasa.

Baginda  juga bertitah acara seumpama itu di rumah ibadat bukan Islam membuka ruang kepada bukan Islam menyebarkan dakyah mereka.

"Adalah sedia dimaklumi bahawa penganut agama lain tidak boleh menyebarkan pegangan mereka kepada umat Islam.

"Namun apabila seorang Muslim secara sengaja menghadirkan diri ke kuil atas alasan untuk berbuka puasa dengan orang bukan Islam maka tindakan ini telah membuka ruang kepada golongan bukan Islam untuk mendakyahkan agama mereka kepada orang Islam tersebut," titah Sultan Ibrahim dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi baginda.

"Perbuatan ini menjadi lebih serius implikasinya apabila pemimpin politik beragama Islam sendiri menghadirkan diri di kuil dan menggunakan platform Majlis lbadah Berbuka Puasa atau dirujuk sebagai Iftar di bawah bumbung Gurdwara Sikh yang sekali gus akan menjadikan perbuatan pemimpin ini satu teladan dan ikutan, sedangkan perbuatan ini telah mewujudkan rasa tidak selesa umat Islam yang lain," titah baginda.

Titah baginda, perbuatan itu pada masa depan akan membuahkan tindakan-tindakan lain lagi seperti solat, pemberian zakat, ibadah korban, acara tahlil, berdoa dan sembahyang jenazah, meraikan bakal-bakal haji, majlis pernikahan dan lain-lain yang seumpamanya bersama penganut agama yang lain di premis agama mereka seperti kata pepatah Melayu, "lurus jarum lurus kelindan".

"Sebagai ketua agama Islam bagi negeri ini, saya juga tidak boleh membenarkan apa-apa perbuatan yang boleh menyebabkan agama Islam dipandang hina atau rendah.

"Kebebasan dan jaminan bahawa penganut agama bukan Islam untuk mengamalkan ajaran agama mereka dengan aman dan bebas dengan syarat-syarat tertentu dalam negeri ini dan negara ini sebagaimana firman Allah dalam surah Al- Kafirun ayat 6," titah baginda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.