Oleh Athirah Huda Zalhe
Sikap menteri luar tunjuk Islam makin terhimpit di era Malaysia baharu

BANGI– Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah bukan pemimpin muslim berwibawa selagi belum meminta maaf dan bertaubat, susulan tindakannya dilihat menyokong gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia, Muhammad Thalhah Kamarol Zaman berkata, sepanjang setahun Saifuddin dalam kerajaan, beliau ternyata menunjukkan sokongan terhadap gerakan golongan songsang itu.
Bahkan, katanya, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu juga sering berkongsi hantaran daripada aktivis LGBT seperti Nu’man Afifi dan Comango serta menunjukkan sokongan terhadap gerakan berkenaan.
“… tetapi menunjukkan sikap yang begitu dingin terhadap NGO yang ingin memberi kesedaran kepada golongan ini seperti WAFIQ dan Macsa.
“Teguran aktivis Macsa merangkap Pengerusi WAFIQ, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar terhadap sikap beliau ini dibalas dengan sinis oleh Saufuddin dengan menyatakan ‘hanya kamu seorang sahaja yang muslim’,” katanya satu dalam kenyataan.
Terdahulu, Dr Rafidah Hanim mempertikaikan tindakan Saifuddin di Twitter apabila menteri itu mengambil perhatian isu Nu’man Afifi disiasat polis berhubung kenyataannya di Geneva, berbanding ucapan Hari Raya Aidilfitri aktivis LGBT berkenaan, yang mempromosikan golongan songsang.
Hantaran Dr Rafidah itu dibalas sinis oleh Saifuddin dengan menyatakan ‘u sorang je Islam’, sehingga menarik pengguna Twitter mengkritik menteri luar berkenaan sebagai tidak profesional menjawab kritikan.
Turut membidas kenyataan Saifuddin itu, Muhammad Thalhah berkata, tindakan itu bukanlah sikap yang sepatutnya ditonjolkan oleh seorang menteri, apatah lagi pemimpin muslim berwibawa.
“Sikap ini lah yang akhirnya menunjukkan Islam semakin terhimpit di era Malaysia Baharu.
“Sebagai seorang pemimpin muslim, Saifuddin sepatutnya lebih aktif dan menyokong usaha untuk mengembalikan golongan ini kepada fitrah dan membendung masalah penyakit seksual yang semakin menular dalam golongan ini,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan dakwah perlu tegas apabila berdepan dengan organisasi terancang yang terang-terangan menolak hukum Allah, manakala penuh hikmah apabila berdepan individu yang memerlukan bantuan serta ingin bertaubat.
“Ternyata pendekatan Rahmatan Lil Alamin versi Malaysia Baharu ini telah menghalalkan segalanya malah pendekatan dakwah hanya terbatas pada individu dan lemah lembut sahaja.
“Perkara ini tenyata bertentangan dengan pengalaman dah ajaran yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.