Rekod SPRM: 1,300 ditangkap, 30 'ikan besar', 13 CEO
MALAYSIAKINI
Malaysia mencapai kadar sabitan rasuah sebanyak 91 peratus dan
tangkapan tinggi dalam tempoh setahun ketika SPRM diterajui oleh Mohd
Shukri Abdull sebagai ketua pesuruhjayanya.
Bagi tempoh Mei 2018
hingga Mei 2019, agensi itu membuat tangkapan hampir 1,300 orang
antaranya melibatkan 30 ahli politik VVIP atau 'ikan besar', 13 pegawai
pengurusan tertinggi, 30 ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat
berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta, serta 137 pegawai pengurusan
profesional.
Mohd Shukri berkata SPRM mencatat kejayaan besar
dengan menjadikan Malaysia setaraf dengan Singapura, Hong Kong dan
Singapura dalam usaha membanteras rasuah.
Dalam
tempoh setahun itu juga, katanya Malaysia mendapat pengiktirafan tinggi
antarabangsa apabila SPRM dianugerahkan oleh Global Investigation
Review (GIR) yang berpangkalan di Washington, Amerika Syarikat sebagai
‘The Most Emerging Enforcement for 2018’ dalam usaha perangi rasuah dan
salah guna kuasa.
“Berduyun-duyun delegasi luar negara datang nak
belajar dengan kita. Setiap bulan ada saja agensi luar negara datang nak
belajar dengan kita.
“ Kita begitu kerap dipanggil badan-badan
antarabangsa untuk memberi talk di international seminar,” katanya dalam
satu pertemuan dengan media di Putrajaya hari ini.
Mohd Shukri
bersara awal sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) pada 31 Julai
2016 sebelum kembali sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Mei 2018 untuk
tempoh dua tahun secara kontrak. Mohd Shukri, 58, bagaimanapun
memutuskan untuk memendekkan kontraknya yang sepatutnya berakhir pada 17
Mei 2020.
Latheefa
Beebi Koya dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat
kuasa 1 Jun setelah Mohd Shukri membuat keputusan memendekkan
kontraknya.
Mohd Shukri berkata pengiktirafan yang diterima membuktikan standard penyiasatan SPRM bertambah baik.
Pada
sidang medianya, hari ini, Mohd Shukri turut menyatakan rasa kesalnya
kerana dilemparkan dengan pelbagai tuduhan yang mendakwa beliau diarah
meninggalkan SPRM kerana didakwa menutup beberapa kes berprofil tinggi.
Ini antaranya termasuk melibatkan Hishammuddin Hussein, Shahrizat Abdul Jalil dan Ahmad Zahid Hamidi.
Menjelaskan
tuduhan berkenaan, Mohd Shukri berkata, seingat beliau, sepanjang
menerajui SPRM, tidak ada fail dibuka terhadap Hishammuddin.
Dalam kes NFC Corp melibatkan Shahrizat, ia disiasat polis manakala Ahmad Zahid pula telah menghadapi pertuduhan, katanya.
Mengenai
dakwaan terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan beliau kerana
didakwa melepaskan pasport bekas Peguam Negara Mohd Apandi Ali, Mohd
Shukri menjelaskan tindakan itu tiada kena mengena dengan dirinya.
“Itu dilepaskan Jabatan Imigresen, Apandi buat permohonan di mahkamah, jadi apa kaitan dengan SPRM dan saya,” katanya.
Mohd
Shukri berkata beliau juga dituduh menerima rasuah daripada pemimpin
parti politik dan beliau menafikannya kerana tuduhan itu tidak berasas.
“Saya
merayu pada mereka biarlah saya meninggalkan SPRM dalam keadaan aman.
Saya tidak mahu lagi fitnah-fitnah yang tidak baik. Biar saya bersama
keluarga dengan aman sebab saya telah buat sedaya terbaik mungkin kepada
SPRM dan negara,” katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.