MUKTAMAR PAS |
Persetujuan sebulat suara daripada perwakilan untuk PAS memeterai
kerjasama dengan Umno secara rasmi disambut dengan laungan takbir yang
memenuhi Dewan Tertutup Sukpa di Indera Mahkota, Kuantan petang ini.
Untuk rekod, taawun bererti kerjasama atau tolong-menolong, manakala tahaluf pula adalah kerjasama secara rasmi dan bertulis.
Usul yang dibentangkan petang tadi menyatakan Dewan Ulama PAS Pusat bersama enam kawasan lain mencadangkan agar pimpinan pusat parti itu serta Majlis Syura Ulama memeterai taawun dan tahaluf siyasi dengan Umno serta parti-parti politik lain.
Pada masa sama, PAS juga hendaklah mengadakan garis panduan asas dan batas kerjasama politik dengan parti yang terbabit, manakala hubungan dengan parti komponen Gagasan Sejahtera diperkasakan.
Enam kawasan yang turut membawa usul itu secara bersama ialah Pandan, Serdang, Kota Raja, Sungai Besar, Kuala Pilan dan Temerloh.
Ia dibentangkan Anggota Jawatankuasa Pusat Ulama PAS, Mohd Asri Mat Daud.
Ketika pembentangannya, Mohd Asri berkata sudah tiba masanya kerjasama dengan Umno dijalankan secara tahaluf pula.
“Rasulullah SAW menerima konsep taawun dan tahaluf dengan pihak lain dalam menentang kezaliman tanpa meninggal perkara akidah Islam, sempadan syariat dan akhlak Islam.
“Taawun dan tahaluf diharamkan dan dibatalkan apabila tidak lagi menghormati perkara asas tersebut, melakukan perkara maksiat atau tindakan mencetuskan permusuhan dan mengundang apa saja keburukan.
“[...] Kalau dulu kita bertahaluf dengan DAP, maka hari ini, tidak salah kalau kita bertahaluf dengan Umno pula,” katanya lagi.
N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Lu Wei Hoong, Mastura Malak dan Alyaa Alhadjri menyumbang kepada laporan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.